Poster Pensijilan Profesional Intervensi Akademik (Intervensi Ehsond) dan Immersif Pengajaran Sejarah

Tanjong Malim, 2 Oktober – Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jabatan Sejarah memperkenalkan sebuah inisiatif baharu dalam dunia pendidikan menerusi penawaran Pensijilan Profesional Intervensi Akademik (Intervensi Ehsond) dan Immersif Pengajaran Sejarah, yang merupakan program pensijilan seumpamanya yang pertama di Malaysia.

Pensijilan ini akan mula ditawarkan kepada umum pada Januari 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan pendidikan Sejarah di peringkat nasional melalui pendekatan intervensi akademik dan teknologi immersif.

Program ini digerakkan dengan tiga objektif utama iaitu meningkatkan kemahiran intervensi dalam domain personal dan profesional keguruan, memantapkan strategi intervensi akademik yang pelbagai, kreatif serta inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran, selain mengukuhkan kaedah pengajaran Sejarah dengan penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai alat immersif dalam bilik darjah moden.

Menurut Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Profesor Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, pensijilan ini bukan sahaja membantu memperkukuh penguasaan pelajar terhadap subjek Sejarah, tetapi juga meningkatkan keyakinan dan kompetensi guru serta bakal guru dalam menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21.

“Usaha ini selari dengan misi UPSI dalam memacu inovasi pendidikan dan memperkukuh peranan universiti sebagai institusi pendidikan terunggul di Malaysia. Program ini bakal menjadi penanda aras baharu dalam pengajaran Sejarah yang berimpak tinggi dan berpaksikan teknologi,” katanya.

Program ini akan dikendalikan oleh barisan tenaga akademik berpengalaman, antaranya Dr. Nurul Asyikin Hassan (Penyelaras Program Latihan Pemantapan Ehsond), Dr. Siti Zahrah Mahfood serta Dr. Ahmad Wiraputra Selamat, pakar dalam bidang Meta-Teknologi dan pengajaran berasaskan AI.

Dari segi pelaksanaan, pensijilan ini ditawarkan dalam tiga bentuk utama iaitu bersemuka, atas talian serta kaedah hibrid (gabungan kedua-dua), selain pilihan on-demand yang membolehkan organisasi menjemput tenaga pengajar ke lokasi masing-masing.

Kandungan program telah dirangka berdasarkan keperluan semasa pendidikan Sejarah, selaras dengan arus perubahan teknologi dan kehendak murid masa kini. Ia diyakini dapat melahirkan pendidik yang bukan sahaja mahir dalam kandungan kurikulum, tetapi juga bijak melaksanakan intervensi akademik secara holistik.

Dengan pelaksanaan program ini, UPSI menegaskan komitmennya dalam memperkasa keupayaan guru dan bakal guru untuk melaksanakan intervensi akademik berkesan serta responsif terhadap perubahan landskap pendidikan semasa, di samping memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju utama transformasi pendidikan di Malaysia.

Sebarang maklumat lanjut mengenai pensijilan ini boleh diperoleh melalui e-mel: nurulasyikin.h@fsk.upsi.edu.my.