Tanjung Malim, 28 September 2025- Seramai 4063 pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) ambilan Oktober mula mendaftar kelmarin dan hari ini bersama keluarga masing-masing dari seluruh negara.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti pendidikan tersohor tanah air itu.
“Harapan saya semua pelajar memberi fokus kepada komitmen membina ilmu dan meningkatkan pelbagai kemahiran sebagai persiapan menjadi pendidik yang berwibawa,” katanya.
Semalam semasa sesi pendaftaran di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir
turut menghubungi secara panggilan video seorang pelajar baharu UPSI, Nik Mohamad Alis Nik Ab Rashid yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Rumah Tangga hidup bersendirian tanpa ibu bapa sejak berusia 17 tahun
Beliau menasihat Nik Mohamad Alis agar tetap bersemangat belajar walaupun menghadapi ujian berat.
Prihatin terhadap situasi hidup Nik Mohamad Alis, UPSI menerusi
Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) menyediakan bantuan yuran pendaftaran dan pengajian.
Yayasan Perkasa Siswa(YPS), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memberi Bantuan Pendidikan Awal kepada 15 pelajar baharu UPSI yang berada dalam kategori B40 dan memerlukan bantuan kewangan untuk hadir dan mendaftar diri di UPSI.
Mereka masing-masing mendapat sumbangam RM1000 bagi memastikan pengajian mereka dapat dimulakan seperti pelajar baharu yang lain.
Dr Zambry menasihati semua pelajar agar belajar rajin-rajin dan berharap UPSI akan terus membantu mereka yang menghadapi masalah kekangan kewangan bagi memastikan kebajikannya terjaga sepanjang pengajian.


Sementara itu Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata proses pendaftaran yang bermula seawal 7.30 pagi berjalan lancar dengan kerjasama 180 sukarelawan Rakan Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) bersama Bahagian Keselamatan UPSI.
Menurut beliau pelajar baharu dijadualkan mengikuti Minggu Orientasi pada 29 dan 30 September yang bertujuan memperkenalkan budaya universiti, ekosistem akademik dan kehidupan kampus, selain membina jaringan persahabatan sesama mahasiswa.
Widad Saidin, 20, dari Kota Bharu, Kelantan yang hadir bersama keluarganya berjaya ditawarkan program pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Teknologi Reka Bentuk di bawah Fakulti Teknikal dan Vokasional ( FTV) bersyukur dapat belajar dalam bidang berkenaan.
Dia yang ingin mewarisi kerjaya ibunya seorang pesara guru prasekolah di Sekolah Kebangsaan Seberang Pasir Mas, Noriana Omar, 57, berazam untuk menjadi pelajar yang aktif sepanjang pengajian demi UPSI,” katanya.

