Oleh: Cik Nur Ain Masitah Kusnanto
KUALA LUMPUR – Bengkel Edutourism 2025 anjuran International, Mobility and Advanced Education (IMAC) berjaya melangkaui matlamatnya, memuktamadkan inisiatif ini dengan pembentukan sebanyak 22 pakej edutourism kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kejayaan ini adalah hasil langsung dari bengkel intensif yang diadakan selama tiga hari, bermula dari 28 hingga 30 September 2025, bertempat di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur.
Matlamat utama penganjuran bengkel ini adalah untuk membuka ruang kepada setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang terlibat untuk membina, memperhalusi, dan mendaftarkan pakej edutourism berimpak tinggi masing-masing.



Angka 22 pakej yang berjaya didaftarkan ini jelas membuktikan komitmen PTJ dalam menterjemahkan potensi pendidikan dan pelancongan institusi ke dalam produk yang berdaya saing global.
Bengkel Edutourism 2025 ini telah disusun dengan teliti, merangkumi modul intensif yang direka khas untuk memastikan setiap PTJ memahami kriteria pembangunan pakej yang selari dengan matlamat KPT.
Bengkel dimulakan pada Ahad, 28 September 2025, dengan ucapan aluan, taklimat dari penceramah. Slot perasmian ini telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Ridzwan bin Che Rus, Pengarah Akademik & Antarabangsa, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa).
Sesi ini turut menampilkan ceramah awal oleh En. Mohamad Khairul Nizam bin Mohd Anuar Cheng, Penolong Pengarah, Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi.


Fokus utama beralih pada Isnin, 29 September 2025, di mana Prof. Madya Dr. Syazwani, Timbalan Pengarah, Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Putra Malaysia, selaku penceramah utama, dibantu oleh En. Mohamad Khairul Nizam, membimbing wakil-wakil PTJ tentang cara Membina Pakej Berimpak Tinggi Selari Matlamat KPT.
Pemahaman ini kemudian diperkukuh lagi dengan menampilkan kepakaran dari Tourism Malaysia. En. Mohd Roslan, Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia, berkongsi pandangan penting tentang Penjenamaan Pakej Edutourism, dengan fasilitasi En. Ahmad Husni, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia.

Segala teori dan bimbingan yang diperoleh daripada sesi-sesi ini terus diuji dalam Sesi 5: Penulisan Pakej di mana semua wakil PTJ perlu menyiapkan penulisan berkenaan pakej-pakej mereka untuk menerima maklum balas pakar sebelum pendaftaran rasmi.


Akhir sekali, bengkel disimpulkan pada Selasa, 30 Oktober 2025, dengan sesi pembentangan dan rangkuman bengkel, di mana setiap PTJ membentangkan pakej-pakej yang mereka bina agar dapat disemak oleh Prof. Madya Dr. Syazwani dan En. Mohamad Khairul Nizam sebelum didaftarkan ke KPT.
Kejayaan pementukan 22 pakej edutourism ini adalah pencapaian yang membanggakan bagi IMAC dan PTJ yang terlibat. Ia adalah bukti kukuh bahawa sinergi antara akademik dan industri, yang digariskan dalam bengkel ini, telah berjaya menterjemahkan potensi pendidikan tinggi kepada produk pelancongan yang berimpak.


Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan portfolio edutourism institusi pengajian tinggi di bawah naungan KPT, malah meletakkan institusi pada kedudukan yang lebih tinggi dalam peta mobiliti global dan pendidikan lanjutan.

