Oleh: Dr Zuriadah Ismail, Dr Anis Suriati Ahmad, PM Dr Mohd Faizal Basri, PM Dr Hazianti Abdul Halim dan PM DR Kesavan a/l Nallaluthan
Tanjong Malim, 8 Oktober 2025 – Dewan Kuliah Pusat 13, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diserikan dengan penganjuran Program Bijak Digital, Selamat Kewangan: Tangani Penipuan dan Akaun Keldai, anjuran Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) dengan kerjasama Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Program ini melibatkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Usaha untuk menangani dan membanteras penipuan kewangan juga melibatkan institusi kewangan dan pengendali syarikat Telco di Malaysia.


Program ini dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Nor Azrin Md Latip yang mewakili Dekan, Prof. Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor, serta dihadiri oleh Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Basri, bersama-sama barisan staf akademik.
Turut menyerikan majlis ialah kehadiran Ketua Pengarah NSRC, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil, serta barisan delegasi daripada pelbagai agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Program turut menampilkan panel jemputan yang terdiri daripada Encik Mohamad Zakie Abu Hassan (NFCC dan BNM), ACP Tuan Zulkeflee Sulaiman (PDRM) dan Encik Muzaffar Mustaffar (SKMM).
Seramai 200 pelajar baharu Jabatan Perakaunan dan Kewangan ambilan Semester 1 Sesi 2025/2026 menyertai program ini yang bertujuan meningkatkan kesedaran mereka terhadap pelbagai bentuk jenayah kewangan seperti scam, penipuan pelaburan dan akaun keldai (mule account).
Dalam sesi perkongsian, panel menegaskan bahawa peningkatan penipuan digital turut melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperdaya mangsa, termasuk golongan pelajar.
Hadirin diingatkan bahawa penyalahgunaan akaun bank untuk tujuan jenayah boleh dikenakan tindakan undang-undang yang serius.


Hadirin juga didedahkan dengan langkah-langkah pencegahan seperti menyemak kesahihan maklumat melalui portal rasmi, mengurus kewangan secara berhemah, dan melaporkan sebarang aktiviti meragukan kepada pihak berkuasa seperti SKMM dan PDRM.
Menutup tirai program, Ketua Pengarah NSRC, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil, menyerahkan geran penyelidikan khas berkaitan jenayah kewangan kepada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, UPSI sebagai simbolik kerjasama strategik dalam membanteras jenayah kewangan.
Penganjuran ini bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan, malah turut menyemai nilai integriti, tanggungjawab sosial dan kesedaran kewangan dalam kalangan mahasiswa UPSI selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warganegara celik digital dan beretika tinggi dalam pengurusan kewangan.

