Oleh: Hazianti Abdul Halim, Mohd Faizal Basri dan Azrizal Husin
Tanjong Malim, 22 November 2025 – Seramai 120 orang pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) Semester5 telah menyertai program Financial Quest: The Path to Wealth Accumulation and Protection, sebuah aktiviti pembelajaran berasaskan gamifikasi yang dianjurkan oleh kursus PBF3013 Insurance Planning and Takaful dan PFM3073 Investment Planning pada 22 November 2025, bertempat di sekitar Blok 9 dan Blok 10, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini dibimbing oleh Penasihat Program iaitu Prof Madya Dr Hazianti Abdul Halim, Prof Madya Dr Mohd Faizal Basri dan Dr Azrizal Husin yang ketiga-tiganya merupakan pensyarah kursus, manakala pengurusan keseluruhan program diketuai oleh Pengarah Program, Saudara Sarwin A/L Sukumaran.
Menurut Penasihat Program, Prof Madya Dr Hazianti Abdul Halim, program berbentuk treasure hunt ini membawa pelajar melalui sepuluh checkpoint interaktif yang memerlukan mereka menyelesaikan cabaran kewangan secara berpasukan.


Dalam ucapan aluan, Prof Madya Dr Mohd Faizal menekankan bahawa program ini dirangka untuk memperkukuh pemahaman pelajar secara praktikal melalui aktiviti eksplorasi, tugasan berpasukan dan penyelesaian masalah.
Selain itu, menurut Dr Azrizal, pentaksiran alternatif melalui gamifikasi mampu meningkatkan penglibatan pelajar, menggalakkan pembelajaran aktif dan memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan konsep insurans, takaful dan pelaburan dalam situasi dunia sebenar.
Pengarah Program, Saudara Sarwin A/L Sukumaranpula menambah bahawa program ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bentuk pentaksiran alternatif yang berbeza daripada kaedah penilaian tradisional yang biasanya berbentuk tugasan bertulis atau peperiksaan.
Sebanyak 10 checkpoint cabaran disediakan, merangkumi tugasan seperti penilaian risiko, analisis tuntutan insurans, volatiliti pasaran serta perancangan matlamat kewangan. Menariknya, semua checkpoint menggabungkan elemen permainan seperti charades, bottle flip dan tugasan fizikal ringkas. Sekiranya peserta gagal menjawab soalan atau melengkapkan cabaran, mereka dikenakan denda mesra seperti belon berisi air atau tepung, menjadikan suasana lebih ceria dan menguji semangat kerjasama kumpulan.
Maklum balas daripada pelajar Adalah sangat positif, dengan ramai menyatakan bahawa program ini sangat menyeronokkan, mencabar dan memberi pengalaman pembelajaran baharu yang tidak mereka rasai dalam kuliah biasa. Walaupun beberapa tugasan mencabar, peserta berasa puas kerana berjaya menyelesaikan cabaran bersama rakan sepasukan. Aktiviti fizikal, permainan dan hukuman kreatif turut mengeratkan hubungan serta meningkatkan motivasi sepanjang program.


Bagi menyemarakkan semangat pertandingan, hadiah disediakan untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga, berdasarkan jumlah markah serta kepantasan menamatkan kesemua checkpoint. Inisiatif ini menambahkan unsur motivasi dan persaingan sihat dalam kalangan pelajar.
Penganjuran program ini turut digerakkan oleh 22 orang ahli jawatankuasa pelajar yang bertindak sebagai fasilitator di setiap checkpoint. Komitmen tinggi para fasilitator dan pensyarah menjadi faktor utama kejayaan program ini.
Program Financial Quest ini selaras dengan usaha UPSI untuk memperkukuh budaya pembelajaran aktif melalui pentaksiran alternatif yang kreatif dan inovatif, selain memupuk literasi kewangan dalam kalangan pelajar.

