Oleh: Norimah Rambeli dan Emilda Hashim
Gambar: Mohamad Azlansyah Uti & Jasmine Eliessa Abdul Shukor
TANJONG MALIM, 6 NOVEMBER 2025 – Seramai 40 orang pelajar jurusan Pendidikan Ekonomi dan 2 pensyarah pengiring dari Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, UPSI telah hadir di atas jemputan rasmi dari pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bekerja sama dengan Kementerian Ekonomi (KE) dalam menganjurkan program ASEAN–Malaysia Statistical Forum (AMSF) 2025 yang berlangsung di Dusit Princess Melaka, Melaka.
Para pelajar yang hadir ke kursus ini adalah para pelajar yang mengikuti kursus berkredit Asas Ekonometrik (PEQ3053). Pensyarah pengiring dan juga merupakan pensyarah kursus bagi kursus tersebut, Prof. Madya Dr. Norimah Rambeli @ Ramli meyakini penglibatan pelajar di dalam program bertaraf antarabangsa ini mampu memberikan impak besar dalam membuka minda para pelajar dalam menumpuh hari muka yang penuh cabaran namun, berbekalkan pengalaman yang berguna.



Forum yang bertemakan “Advancing ASEAN Through Inclusive Data and Innovation” ini berfungsi sebagai platform utama yang menghimpunkan kesemua ahli statistik, pembuat dasar, penyelidik serta pakar ekonomi dari seluruh rantau ASEAN.
Program ini bermula dengan sesi pendaftaran seawal 8.30 pagi, diikuti ucapan alu-aluan oleh YB Dato’ Hajjah Hanifah HajarTaib, Timbalan Menteri Ekonomi serta ucapan perasmian oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh.
Sesi forum dan pembentangan AMSF 2025 ini dianjurkan selaras dengan keperluan kursus PEQ3053 – Asas Ekonometrik, yang menekankan pendedahan pelajar kepada kemahiran analisis data dan statistik dalam konteks dunia sebenar.
Pada semester yang lalu, bagi memberi pengalaman awal kepada pelajar untuk menghadiri forum atau seminar analisis data, pensyarah kursus ekonometrik telah mengambil inisiatif menganjurkan seminar simulasi sebagai latihan kepada para pelajar untuk merasai suasana seminar atau forum sebenar.
Melalui seminar simulasi tersebut, para pelajar telah diberi peluang untuk membentangkan hasil kajian berkumpulan di samping mendengar dan menilai pembentangan hasil kajian daripada kumpulan lain.
Program seminar simulasi ini telah ditanggung sepenuhnya oleh Fakulti Pengurusan dan Ekonomi serta Jabatan Ekonomi. Namun demikian, pada semester ini, para pelajar Jabatan Ekonomi yang mengikuti kursus PEQ3053 telah terpilih untuk mengikuti pengalaman pembelajaran sebenar dengan menghadiri Forum AMSF 2025.
Melalui sokongan yang kuat dari Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, serta dorongan dari Ketua Jabatan Ekonomi (JE), Prof Madya Dr. Zainizam Zakariya, pengalaman berharga yang diperolehi oleh pelajar dari program ini adalah mustahil untuk direalisasikan.
Para pelajar juga turut di taja sepenuhnya oleh pihak DOSM dan Kementerian Ekonomi disepanjang program berlangsung, tajaan termasuklah penyedian makanan dan minuman di sepenjang program serta goodies program.
Akhir kalam, inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih mendalam kepentingan penguasaan teori statistik dan ekonometrik dalam dunia kerjaya, malah turut membuka minda mereka terhadap peranan data dan inovasi dalam pembangunan ekonomi serantau.


Penglibatan pelajar AT18 dalam program forum ini telah memberikan pengalaman pembelajaran yang amat berharga dan inspiratif. Para pelajar jelas menunjukkan keterujaan apabila menyaksikan aplikasi sebenar statistik, ekonometrik, inovasi data serta pembangunan ekonomi di peringkat ASEAN.
Dengan bimbingan yang berterusan serta komitmen tinggi oleh Dr. Norimah dan para pensyarah pengiring, program ini telah berjaya mencapai objektif pembelajaran yang disasarkan, sekali gus memperkukuh kefahaman pelajar terhadap kepentingan ilmu statistik dan ekonometrik dalam menyokong pembangunan ekonomi berasaskan data.
