Oleh Nushi Tazul Rahim & Khalizul Khalid
TANJUNG MALIM, 12 November 2025 – Menjadi detik yang berbeza buat warga Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE). Suasana fakulti yang kebiasaannya dipenuhi dengan jadual kuliah dan tugasan akademik bertukar ceria apabila pelajar dan Penasihat Akademik (PA) berkumpul dalam Program Rewang Penasihatan Akademik FPE 2025. Program ini bukan sekadar pertemuan akademik, sebaliknya menjadi ruang untuk membina hubungan yang lebih dekat dan bermakna antara pensyarah dan pelajar.
Pemilihan konsep “Rewang” nyata membawa kelainan. Dalam suasana santai dan penuh kemesraan, jurang formal antara PA dan pelajar mula terhakis. Aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berinteraksi secara lebih terbuka, sambil menyemai nilai ukhuwah, kebersamaan dan kepercayaan dalam kalangan warga FPE.


Program dimulakan dengan ucapan ringkas oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FPE, Dr. Khalizul bin Khalid, yang menekankan kepentingan hubungan dua hala antara PA dan pelajar dalam membantu kelancaran pengajian serta perkembangan diri mahasiswa. Suasana semakin rancak apabila aktiviti senamrobik dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa daripada Kelab Pengurusan Sumber Manusia FPE (HRMC), menceriakan pagi dan menyuntik semangat kepada semua yang terlibat.
Sesi perkenalan diri antara pelajar dan PA yang berlangsung selepas itu membuka ruang komunikasi yang lebih santai. Dalam sesi ini, pelajar bukan sahaja dapat mengenali PA masing- masing dengan lebih dekat, malah turut menerima perkongsian berkaitan prosedur akademik, peraturan universiti serta panduan awal tentang perancangan pengajian dan hala tuju kerjaya.

Kemuncak program pastinya sesi rewang yang berlangsung di dapur Pusat Islam UPSI. Pelajar dan ahli fakulti FPE berganding bahu menyediakan makanan tengah hari untuk dinikmati bersama. Dalam suasana gotong-royong ini, gelak tawa dan perbualan santai menjadi pengikat yang menyatukan warga fakulti. Di sinilah pelajar lebih selesa berkongsi cerita, pengalaman dan minat masing-masing bersama PA, sekali gus menjadikan hubungan yang terjalin lebih tulen dan bermakna.
Program ini nyata meninggalkan kesan yang positif. Seorang pelajar Semester 3 Ekonomi Kewangan Islam, Ku Muhammad Arif bin Ku Khairul Nizam, berkongsi rasa gembira kerana program seperti ini membuatkan pelajar lebih yakin untuk mendekati PA pada masa hadapan. Bagi beliau, pendekatan santai ini membantu pelajar berasa lebih selesa untuk berkongsi pandangan dan mendapatkan nasihat. Sementara itu, Profesor Madya Dr. Azila Abdul Razak, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPE, turut menyatakan keterujaannya terhadap penganjuran program ini yang berjaya menyemai semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan pelajar dan pensyarah.


Secara keseluruhannya, Program Rewang Penasihatan Akademik FPE 2025 membuktikan bahawa proses penasihatan akademik boleh dilaksanakan dalam suasana yang lebih santai dan mesra tanpa menjejaskan matlamat asalnya. Lebih daripada sekadar program akademik, ia menjadi medium untuk mengeratkan ukhuwah, membina kepercayaan dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.
