Oleh: Dr. Rosfizah Md Taib
Tanjong Malim, 29 Disember 2025 – Nilai keilmuan, kemanusiaan dan keadilan sosial terus diangkat dalam wacana global apabila International Conference on the Empowerment of Vulnerable Populations 2025 (ICEVP 2025) berjaya dianjurkan dengan jayanya pada 12 November 2025.
Persidangan bertaraf antarabangsa anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini berlangsung secara hibrid serta melalui platform Zoom telah menghimpunkan para sarjana, penyelidik dan pengamal dari pelbagai disiplin ilmu yang berkongsi komitmen terhadap agenda perlindungan dan pemerkasaan populasi rentan.

Majlis pembukaan persidangan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Dina Imam Supaat, selaku Ketua Research Group on the Protection and Empowerment of Vulnerable Populations (Rev-Up), USIM, yang menegaskan kepentingan kerjasama antara disiplin dan rentas bidang kuasa dalam menangani isu-isu ketidaksamaan sosial yang semakin kompleks.
Antara sorotan utama persidangan ini ialah penyertaan Pensyarah Kanan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Rosfizah Md Taib, yang diundang khas sebagai Pembentang Kertas Kerja Jemputan. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk “Behind the Gates of Learning: Exploring the Educational Experiences of Teachers and Children in Conflict with the Law in Malaysian Rehabilitation Centres.” Pembentangan tersebut menerima sambutan yang amat menggalakkan dan mencetuskan perbincangan aktif dalam kalangan peserta.
Kertas kerja Dr. Rosfizah Md Taib yang berteraskan pengalaman penyelidikan lapangan beliau selama berpuluh tahun mengenai kanak-kanak berkonflik dengan undang-undang telah membuka ruang baharu untuk memahami realiti pendidikan dan pemulihan di institusi pemulihan kanak-kanak di seluruh negara. Penyampaian beliau yang bersemangat, berfakta dan sarat dengan sentuhan kemanusiaan nyata menarik perhatian peserta, sehingga sesi pembentangan berlangsung dalam suasana penuh tumpuan dan refleksi mendalam.
Seorang peserta persidangan menyifatkan perkongsian Dr. Rosfizah Md Taib sebagai “sangat menarik dan membuka mata”, khususnya dalam menyingkap pelbagai inisiatif serta sokongan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Malaysia bagi membangunkan semula potensi dan kesejahteraan bekas kanak-kanak yang pernah terjebak dengan kegiatan jenayah. Para peserta turut mendoakan agar Dr. Rosfizah Md Taib terus istiqamah dan gigih meneruskan usaha murni ini demi masa depan generasi rentan kelompok kanak-kanak ini pada tahun-tahun mendatang.

Secara keseluruhan, persidangan ini digerakkan dengan lima objektif utama, antaranya menyuburkan perbincangan ilmiah berkaitan perlindungan populasi rentan, mengkaji secara kritis kedudukan golongan tersebut dalam rangka kerja perundangan dan dasar sedia ada, serta meneroka pendekatan holistik yang mengintegrasikan piawaian hak asasi manusia antarabangsa dengan prinsip keadilan, belas kasihan dan kebajikan awam Islam. Penekanan turut diberikan bagi memastikan agenda kemampanan benar-benar selari dengan keperluan sebenar masyarakat rentan.
Persidangan yang berlangsung sehari ini menampilkan seramai lapan (8) orang Pembentang Jemputan, 20 orang pembentang dalam sesi selari, serta disertai oleh kira-kira 30 orang peserta. Perjalanan keseluruhan persidangan berlangsung dengan lancar dalam suasana ilmiah yang kondusif, mencerminkan kepelbagaian disiplin ilmu yang bersatu dalam misi kemanusiaan sejagat.
UPSI secara khusus menzahirkan rasa bangga terhadap penyertaan Dr. Rosfizah Md Taib dalam persidangan berprestij ini. Sumbangan ilmiah beliau bukan sahaja mengharumkan nama universiti, malah memperkukuh peranan akademia di pentas antarabangsa dalam memperjuangkan keadilan sosial, pendidikan inklusif dan pemerkasaan golongan yang sering terpinggir.
Kejayaan persidangan ini membuktikan bahawa dialog ilmiah yang berteraskan nilai ilmu dan kemanusiaan mampu menjadi pemangkin kepada perubahan dasar dan amalan yang lebih adil, berperikemanusiaan dan lestari untuk generasi masa hadapan.
