Oleh: Mursyliha Farisha Darussamin
Tanjong Malim, 21 Disember 2025 – Setelah sekian lama dinanti, pentas Festival Kesenian dan Kebudayaan Kolej-Kolej Kediaman UPSI (FREKUENSI 2025) akhirnya kembali menghangatkan suasana kampus apabila berlangsung meriah selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember 2025. Edisi kali ini menyaksikan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) tampil sebagai tuan rumah penganjuran, sekali gus mencipta sejarah tersendiri dalam menghidupkan semula warisan seni mahasiswa bertemakan retro yang sarat elemen nostalgia dan kreativiti.
Program berprestij ini menghimpunkan penyertaan daripada seluruh kolej kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali gus menjadi wadah penting bagi mencungkil bakat terpendam mahasiswa dalam bidang seni persembahan di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara warga kolej.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nizam (Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman), yang dalam ucapannya menegaskan kepentingan kesinambungan seni dan budaya di peringkat universiti sebagai usaha mengekalkan identiti warisan bangsa walaupun arus pemodenan semakin pesat. Beliau turut memuji kelainan konsep retro yang berjaya menggabungkan keindahan elemen klasik dengan sentuhan moden, sekali gus menyerlahkan kreativiti anak muda masa kini.

Dalam FREKUENSI 2025 ini, Kolej Awang Had Salleh, UPSI sekali lagi telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan setelah meraih 10 kemenangan dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Kualiti persembahan yang dipamerkan amat memberangsangkan, hingga menyukarkan para juri membuat penilaian untuk menentukan pemenang setiap kategori. Para peserta nyata telah mempersembahkan komitmen tinggi serta semangat profesionalisme yang membanggakan, menjadikan setiap pertandingan tampil lebih kompetitif dan bermakna.

Sepanjang festival berlangsung, sebanyak 11 acara pertandingan telah dipertandingkan merangkumi Deklamasi Sajak, Syair, Nasyid, Kompang, Aerodance, Nyanyian Solo, Battle of the Band, Tarian Zapin Melayu, Drama Sebabak, Dikir Barat dan yang paling menariknya tahun ini 1 acara baharu telah diperkenalkan iaitu Boria. Setiap acara menyajikan persembahan yang bertenaga, sarat ekspresi dan penuh keunikan sehingga mencetuskan persaingan sengit antara para peserta.
Kesemua pemenang menerima sijil penghargaan, trofi dan piala iringan sebagai simbol pengiktirafan terhadap usaha gigih dan pencapaian cemerlang mereka sepanjang festival.

FREKUENSI 2025 turut menjemput penampilan khas, iaitu Didie Shazry bagi memeriahkan lagi festival ini serta banyak gerai makanan dan minuman dibuka di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki (KAB).
Pengarah Program FREKUENSI 2025, Afrina Wafa Abdul Wahhib, ketika berucap pada majlis penutupan menyatakan bahawa platform ini bukan sahaja berfungsi sebagai pentas untuk mengetengahkan bakat seni mahasiswa, malah menjadi ruang membina keyakinan diri, menyemai semangat berpasukan serta memupuk sifat daya saing yang sihat dalam kalangan penghuni kolej kediaman.
Beliau berharap agar penganjuran program bersepadu seumpama ini terus diperkasakan pada masa hadapan, sekali gus memastikan denyut nadi seni dan kebudayaan terus mekar dalam landskap kampus UPSI.
