Oleh: Danish Shamsul

Taiping, Disember 2025 – Dalam usaha menyokong agenda pembangunan lestari sejagat, pelaksanaan program kesukarelawanan yang berpaksikan kelestarian alam sekitar terus menjadi keutamaan. Seiring dengan hasrat Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya dalam memelihara ekosistem daratan dan kesejahteraan hidupan liar, Program CSR Zoo Taiping: Sayangi Haiwan, Prihatin Alam anjuran Exco Prihatin dan Kesejahteraan Sosial, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026 telah berjaya mengumpulkan lebih 50 orang sukarelawan di Zoo Taiping, Perak hasil kerjasama erat bersama pihak pengurusan Zoo Taiping.

Semangat para peserta program disambut baik dengan taklimat ringkas oleh wakil pihak zoo yang memperkenalkan sejarah, peranan serta usaha pemuliharaan hidupan liar yang dijalankan. Dari spesies haiwan eksotik sehingga landskap hijau yang mendamaikan, pengalaman dari program ini memberi ruang kepada peserta untuk lebih menghargai khazanah alam yang tidak ternilai.

Menurut wakil pihak Zoo Taiping, Encik Zaid bin Hamidi, “Alam sekitar adalah amanah yang perlu dipelihara bersama demi kelangsungan hidup generasi masa hadapan.” Kenyataan tersebut menegaskan kepentingan kerjasama bersepadu antara institusi dan masyarakat dalam memastikan usaha pemuliharaan flora dan fauna dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

Secara keseluruhannya, Program CSR Zoo Taiping: Sayangi Haiwan, Prihatin Alam bukan sekadar sebuah program lawatan, malah berperanan sebagai medium kesedaran dan pendidikan yang menekankan tanggungjawab bersama dalam pemuliharaan alam sekitar. Pendekatan holistik yang diterapkan melalui program ini berupaya menyokong pembentukan sikap positif, memperkukuh nilai kesukarelawanan serta menyumbang kepada usaha jangka panjang dalam memelihara alam demi kesejahteraan generasi akan datang.