Oleh: Ahmad Hayyan Na’im Hamzah & Muhammad Azlan Azhari

TANJUNG MALIM, 21 Disember 2025- Dewan Kuliah Pusat 13 (DKP 13) hari ini dimeriahkan dengan penganjuran “Pertandingan E-Sport Mobile Legends: Battle of Legends UPSI”, sebuah inisiatif yang dibawakan khas oleh Exco Sukan dan Rekreasi (SCOREX), Persatuan Geografi (PERGEO), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini diadakan dengan kerjasama strategik UPSI E-Sports Club. Kolaborasi ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 17: Kerjasama demi Matlamat, yang menekankan kepentingan sinergi antara persatuan akademik dan kelab sukan khusus. Penglibatan UPSI E-Sports Club amat penting dalam kejohanan ini kerana mereka membantu sepenuhnya dari segi teknikal, termasuk penyediaan sistem pelayan dan pemantauan kelancaran perlawanan.

Pertandingan ini dibuka kepada semua pelajar UPSI dan telah menerima sambutan hangat dengan penyertaan sebanyak 10 kumpulan iaitu 50 orang peserta. Pertandingan dijalankan menggunakan mod “Custom Match – Draft Pick”. Pada peringkat kumpulan, pasukan bersaing menggunakan format “Best of One” (BO1) untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Persaingan semakin sengit di peringkat separuh akhir yang menggunakan format “Best of Three” (BO3). Peringkat ini menyaksikan pertembungan dramatik antara Neo Team menentang Bugis Red Giant, manakala Cupu Party berhadapan dengan Budak Sem 1. Pasukan Bugis Red Giant dan Budak Sem 1 akhirnya berjaya menewaskan lawan masing-masing untuk melangkah ke pentas akhir.

Kemuncak pertandingan diserikan dengan pusingan akhir yang mendebarkan antara Budak Sem 1 menentang Bugis Red Giant. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi permainan yang kemas dan berdaya saing tinggi. Akhirnya, Budak Sem 1 berjaya menewaskan Bugis Red Giant dengan keputusan sengit 2-1, sekaligus dinobatkan sebagai juara kejohanan kali ini.

Selain menguji ketangkasan, program ini turut menyokong SDG 3: Kesihatan Baik dan Sejahtera, di mana ia berfungsi sebagai medium rekreasi minda yang sihat serta memperkukuh jaringan sosial antara pelajar dari pelbagai fakulti. Suasana di dalam dewan gamat dengan sorakan penyokong yang hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan masing-masing.

Sesi penyampaian hadiah
Ahli jawatankuasa program

Mengulas mengenai penganjuran program ini, wakil Exco SCOREX menjelaskan bahawa inisiatif ini dirangka khusus untuk menyantuni minat generasi mahasiswa masa kini yang terarah kepada teknologi digital. Beliau menegaskan bahawa persepsi e-sukan sebagai hiburan semata-mata perlu diubah, kerana ia sebenarnya merupakan satu disiplin yang menuntut fokus yang tinggi, pemikiran kritis, dan kemampuan menyelesaikan masalah secara kolektif dalam tempoh masa yang singkat.

Secara keseluruhannya, Pertandingan E-Sport Mobile Legends: Battle of Legends UPSI berjaya mencapai objektifnya dalam membudayakan persaingan sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim seluruh warga kampus. Diharapkan program seperti ini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan sebagai wadah memperkukuh ukhuwah dan bakat mahasiswa.