Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon, Dr. Hjh. Noraini binti Abdullah dan Syarfa Aliah binti Syaiful Azhar
Tanjong Malim, 21 Disember 2025 – Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) di bawah Jabatan Pendidikan Khas telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan dalam kejohanan sukan fakulti FPM FIT WEEK 2.0 yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember 2025. Kejohanan berprestij peringkat Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) ini telah diadakan di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim.

Kejohanan FPM FIT WEEK 2.0 mempertandingkan lapan acara sukan utama merangkumi bola sepak, bola jaring, bola tampar, tarik tali, dodgeball, badminton, catur dan e-sukan. Penganjuran kejohanan ini bertujuan memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa FPM. Dengan mengangkat tema “Haiwan Dirimba”, setiap persatuan tampil dengan identiti dan kreativiti tersendiri yang menyerlahkan keunikan pasukan masing-masing.
PM2PK tampil dengan identiti ular hijau berslogan “Menyusur dalam senyap tetapi diam-diam berbisa” yang melambangkan strategi tersusun, ketahanan mental serta semangat juang tinggi dalam kalangan mahasiswa Program Pendidikan Khas. Segala prop, kostum dan hiasan pasukan telah direka dan dihasilkan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri dengan sokongan serta bimbingan Exco Sukan dan Rekreasi PM2PK. Kreativiti ini bukan sahaja menyerlahkan identiti pasukan, malah turut mendapat pujian semasa perbarisan pembukaan kejohanan.

Selain penglibatan aktif sebagai peserta, PM2PK turut memainkan peranan penting dalam jawatankuasa pelaksana kejohanan, sekali gus menunjukkan komitmen tinggi mahasiswa dalam aspek kepimpinan dan pengurusan acara. Dari segi prestasi sukan, PM2PK berjaya menampilkan pencapaian yang amat memberangsangkan dalam hampir semua acara yang disertai.
Antara kejayaan utama yang diraih ialah johan badminton bergu campuran, johan dodgeball perempuan dan johan e-sukan. Di samping itu, PM2PK turut memperoleh beberapa naib johan dalam acara perbarisan pembukaan, bola sepak, bola jaring, bola tampar perempuan, tarik tali lelaki dan perempuan, badminton bergu perempuan, catur serta dodgeball lelaki. Secara keseluruhan, PM2PK berjaya mengumpul tiga pingat emas dan sebelas pingat perak, sekali gus melayakkan persatuan ini menduduki tempat ketiga keseluruhan kejohanan.

Kejayaan ini merupakan hasil bimbingan berterusan daripada Penasihat PM2PK, Dr. Vestly Kong Liang Soon, serta sokongan padu daripada Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Dr. Noraini binti Abdullah. Komitmen, disiplin dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh mahasiswa Program Pendidikan Khas menjadi faktor utama kejayaan ini.
Pencapaian yang diraih membuktikan bahawa mahasiswa Program Pendidikan Khas bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mampu menyerlah dalam arena kesukanan serta pembangunan sahsiah, selari dengan aspirasi UPSI melahirkan graduan holistik dan seimbang.

