Oleh: Nur Aqilah Mohd Aidill

Tanjong Malim, 21 Disember 2025- FPM Fit Week 2.0 2025 telah melabuhkan tirainya dengan penuh semangat kesukanan apabila kontinjen Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) berjaya mencatat pencapaian yang amat membanggakan sepanjang penganjuran program tersebut. Melalui penyertaan aktif dalam pelbagai acara sukan yang dipertandingkan, kontinjen KASIH bukan sahaja menunjukkan prestasi cemerlang, malah berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan Keseluruhan FPM Fit Week 2.0 2025, sekali gus membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing secara sihat dan konsisten.

Sepanjang kejohanan berlangsung, kontinjen KASIH berjaya meraih Pingat Emas menerusi acara Bola Tampar Lelaki, Bola Tampar Perempuan, Tarik Tali Lelaki, Badminton Beregu Kumpulan B Lelaki serta Badminton Beregu Kumpulan A Perempuan. Selain itu, kontinjen KASIH turut memperoleh Pingat Perak dalam acara Badminton Beregu Kumpulan A Lelaki. Pencapaian ini dilengkapkan lagi dengan Pingat Gangsa yang dimenangi melalui acara Bola Jaring Kumpulan B, Tarik Tali Perempuan, Dodgeball Kumpulan A Lelaki, Badminton Beregu Campur, Bola Sepak serta Catur Perempuan.

Kejayaan ini merupakan hasil usaha berterusan, disiplin serta semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan para atlet KASIH, di samping sokongan padu daripada pihak pengurusan dan warga KASIH secara keseluruhannya. Diharapkan pencapaian sebagai Naib Johan Keseluruhan ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada kontinjen KASIH untuk terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.