Oleh: Muhammad Adham Hamzi Abu Seman
Antara Gapi, 11 Oktober 2025 — Program Larian Ria Serapi 2025 telah berlangsung dengan meriah di Sekolah Kebangsaan Antara Gapi pada hari Sabtu, 11 Oktober 2025.
Program ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat di samping memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan antara peserta daripada pelbagai lapisan umur.
Kehadiran ahli PERGEO bukan sahaja membantu melancarkan urusan teknikal dan logistik malah turut memperlihatkan semangat kesukarelawanan serta jalinan hubungan baik antara pihak universiti dan komuniti luar.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Geografi (PERGEO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang hadir sebagai sukarelawan dalam menjayakan perjalanan program.


Program ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat yang menekankan kepentingan kolaborasi antara institusi pendidikan dan komuniti dalam menjayakan pembangunan sosial yang mampan.
Larian sejauh 5 kilometer ini bermula seawal jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan disertai oleh lebih daripada 300 peserta yang terdiri daripada murid, ibu bapa, guru, serta masyarakat sekitar.
Terdapat beberapa kategori penyertaan seperti Single (Medal), Single (Medal + Shirt), Duo Combo dan Family Combo, dengan hadiah keseluruhan bernilai RM3,000 ditawarkan kepada pemenang dan peserta bertuah.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti sesi senamrobik, cabutan bertuah serta jualan makanan dan minuman oleh komuniti setempat.
Program ini mendapat sambutan hangat dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran barisan guru serta pihak pentadbir sekolah yang turut sama berlari dan memberikan sokongan kepada para peserta.
Sukarelawan daripada Persatuan Geografi (PERGEO) memainkan peranan penting dalam penyediaan air, pendaftaran peserta, pengedaran medal dan membantu menguruskan perjalanan majlis.


Penglibatan ini memberi peluang kepada mahasiswa UPSI untuk mengaplikasikan nilai tanggungjawab sosial dan semangat kerja berpasukan dalam konteks sebenar komuniti.
Secara keseluruhannya, Larian Ria Serapi 2025 berjaya mencapai objektifnya dalam membudayakan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan antara sekolah, komuniti, dan pihak luar seperti Persatuan Geografi UPSI.
Diharapkan program seperti ini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh jaringan kerjasama komuniti dan institusi pendidikan.
