Oleh : Chempaka Nur Ariesha Juhari
Tanjong Malim, 8 Oktober 2025 — Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsungnya program orientasi bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi bagi sesi 2025/2026 anjuran Jabatan Geografi dan Alam Sekitar (JGAS), Fakulti Sains Kemanusiaan.
Program ini diadakan bagi menyambut kehadiran pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi baharu serta memperkenalkan JGAS serta barisan tenaga pengajar kepada pelajar yang bakal menempuh perjalanan akademik di universiti.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Dr. Hanifah binti Mahat, yang memperkenalkan barisan pensyarah di Jabatan Geografi, di mana setiap pensyarah memperkenalkan diri serta bidang kepakaran masing-masing.
Sesi ini memberi peluang kepada pelajar baharu untuk mengenali lebih dekat tenaga pengajar yang bakal membimbing mereka sepanjang pengajian.
Majlis turut diteruskan dengan sesi pengenalan terhadap struktur subjek yang ditawarkan di Jabatan Geografi bagi membantu pelajar memahami perjalanan akademik mereka sepanjang lapan semester di UPSI.
Persatuan Geografi (PERGEO) juga tidak melepaskan peluang untuk memperkenalkan persatuan ini kepada semua pelajar baharu.



Dalam sesi tersebut, barisan Majlis Tertinggi PERGEO sempat berkongsi mengenai aktiviti, pencapaian serta peluang yang ditawarkan kepada semua aktivis PERGEO.
Mereka turut menggalakkan dan memberi motivasi kepada pelajar baharu untuk menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan PERGEO, di samping memberi perkongsian tentang penyesuaian diri terhadap suasana dan budaya di universiti.
PERGEO amat berbesar hati menerima kehadiran pelajar baharu sebagai sebahagian daripada keluarga besar persatuan ini.
Secara keseluruhannya, program orientasi ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkenalkan Jabatan Geografi dan Alam Sekitar kepada pelajar baharu serta mengeratkan hubungan antara pensyarah dan pelajar.
Semoga pelajar AT33 ambilan 2025/2026 terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama Jabatan Geografi dan Alam Sekitar pada masa hadapan.
