Oleh: Nur Syafiqah Mohd Syamsuri
Tanjong Malim, 14 Oktober 2025 – Program Riang Mesra Felo Bersama Penghuni Blok Kediaman 1 dan 4 telah berlangsung dengan jayanya bagi menzahirkan semangat perpaduan, kerjasama serta keceriaan dalam kalangan penghuni blok kediaman 1 dan 4 bersama felo kediaman serta Ahli Jawatankuasa yang terlibat. Program ini dijalankan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara felo blok kediaman satu dan empat agar dapat mewujudkan suasana yang harmoni, mesra serta hormat-menghormati di bawah satu bumbung yang sama.


Program ini dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan bacaan doa seterusnya diteruskan dengan ucapan daripada pengarah program iaitu saudari Sapura Mohd Masdin merangkap Exco blok kediaman 1 dan pengarah program bersama iaitu Noor Hanis Hazwani Mohd Riduan merangkap Exco blok kediaman 4 dan diteruskan dengan sesi pengenalan Ahli Jawatankuasa Blok kediaman 1 dan Ahli Jawatankuasa Blok kediaman 4. Bagi menghangatkan lagi suasana program, ia diteruskan lagi dengan ucapan daripada felo blok-blok kediaman 1 dan 4 iaitu Hazman Ya’akob sebagai felo blok kediaman 1 dan Muhamad Rusham Rustan Nursim sebagai felo blok kediaman 4 dan pada akhir pengucapan felo, Hazman Ya’akob dan Muhamad Rusham menasihati pelajar supaya mematuhi peraturan kolej agar dapat menghindari salah laku kolej.


Program tersebut turut diserikan dengan penganjuran kuiz dan berjaya menarik penyertaan ramai. Di dalam kuiz tersebut, seramai tiga orang peserta terbaik telah dinobatkan sebagai pemenang utama dan akan mendapat hadiah berbentuk barangan. Tambahan, suasana program menjadi lebih meriah apabila ia diteruskan lagi dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berbentuk barangan keperluan untuk para penghuni.


Di samping itu, satu sesi soal jawab diadakan pada penghujung program bagi memberi ruang kepada para penghuni untuk bertanyakan soalan kepada felo blok kediaman dan program ini diakhiri dengan sesi fotografi sebagai tanda kenang-kenangan dan simbolik bagi penutupan kepada program yang telah berjalan dengan jayanya
Program Riang Mesra Felo ini telah menjadi satu wadah untuk memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim antara felo-felo blok kediaman serta penghuni blok kediaman 1 dan 4 ia sekaligus dapat melahirkan warga kolej yang harmoni dan sejahtera.
Semoga penganjuran program ini dapat menjadi titik tolak kepada pelaksanaan lebih banyak lagi program-program yang berimpak positif kepada para penghuni dan semoga kemeriahan yang tercipta antara penghuni blok kediaman 1 dan 4 bersama felo blok-blok kediaman sepanjang program berlangsung dapat mengikat hubungan mesra antara semua penghuni.
