Oleh : Dr. Mohamad Albaree Bin Abdul

Tanjong Malim, 21 Oktober 2025 – Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PPAKK), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Annual Grand Meeting (AGM) bagi sidang 2024/2025 di Bilik Mesyuarat Utama, Blok 9 Aras 1, FPM dengan penuh meriah dan bersemangat retro.

Majlis yang bertemakan “Retro” itu menjadi simbolik kepada kesinambungan perjuangan dan transformasi kepimpinan pelajar dalam menggerakkan aktiviti serta budaya kebitaraan dalam kalangan mahasiswa Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Program yang bermula jam 8.00 malam itu turut menyaksikan penglibatan aktif ahli persatuan, pensyarah serta barisan kepimpinan baharu dan lama dalam suasana penuh harmoni.

Perasmian dan Harapan Kepimpinan Fakulti

Majlis telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pembangunan Manusia.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kepimpinan mahasiswa memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian dan nilai profesionalisme guru pada masa hadapan.

Persatuan bukan sekadar platform untuk menganjurkan program, tetapi medan latihan kepimpinan sebenar yang membina jati diri, disiplin dan empati dalam diri bakal pendidik. Saya berharap kepimpinan baharu dapat meneruskan budaya kecemerlangan dan semangat kebersamaan yang telah diasaskan,” ujar beliau.

Ucapan Penghargaan Mantan YDP

Majlis turut menyaksikan ucapan penghargaan daripada mantan Yang Dipertua, saudari Fatin Dalila binti Azmi, yang menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa serta penasihat persatuan atas kerjasama sepanjang sidang 2024/2025.

Perjalanan kepimpinan ini mengajar kami erti tanggungjawab dan keikhlasan dalam berkhidmat. Saya percaya kepimpinan baharu akan membawa semangat segar dan terus memperkukuh imej PPAKK sebagai persatuan mahasiswa yang aktif, progresif dan prihatin,” katanya.

Amanat Penasihat Persatuan

Dalam pada itu, Dr. Mohamad Albaree bin Abdul, selaku penasihat persatuan, turut menzahirkan rasa bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan dan ahli persatuan.

AGM ini bukan sekadar acara rutin, tetapi refleksi kepada semangat kekitaan dan nilai kepimpinan yang dibina sepanjang tahun. Saya mengharapkan agar budaya ilmu, kreativiti dan kasih sayang yang menjadi asas Pendidikan Awal Kanak-Kanak terus dipupuk dalam setiap aktiviti persatuan,” katanya ketika berucap.

Pelantikan YDP Baharu dan Persembahan Istimewa

Majlis diteruskan dengan sesi pembentangan laporan tahunan, laporan kewangan serta pelantikan barisan kepimpinan baharu bagi sidang 2025/2026. Nurul Najwa Nabila binti Mohd Amin Azro telah diumumkan sebagai Yang Dipertua baharu Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak UPSI.

Dalam ucapan sulungnya, beliau berjanji untuk meneruskan momentum kepimpinan terdahulu serta memperkukuh penglibatan ahli melalui pelbagai program berimpak tinggi.

Saya ingin menjadikan persatuan ini bukan sekadar nama, tetapi satu keluarga yang hidup dengan semangat kasih sayang, tanggungjawab dan inovasi. Bersama kita terus melakar identiti pelajar Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang cemerlang, beradab dan berjiwa pendidik,” katanya penuh semangat.

Menariknya, AGM kali ini turut memperkenalkan lagu rasmi baharu bertajuk “Persatuan Kita”, yang dinyanyikan oleh ahli persatuan sendiri sebagai simbol perpaduan dan aspirasi baharu. Lagu tersebut mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin dan menjadi kemuncak malam bersejarah itu.

Penutup dan Suasana Kekeluargaan

Majlis diakhiri dengan tayangan montaj aktiviti sepanjang sidang 2024/2025, sesi pertukaran hadiah, jamuan ringan serta sesi fotografi kenangan. Suasana penuh ceria dan nostalgia retro menjadikan malam AGM ini lebih bermakna dan menggambarkan kesepaduan komuniti mahasiswa Pendidikan Awal Kanak-Kanak UPSI.