Oleh: Nur Nabilah Nazri

Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan kampus melalui penganjuran Karnival Keusahawanan D’UPSI 2025, yang berlangsung pada 29 Oktober 2025 di Bangunan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff. Turut hadir Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin serta delegasi Bank Islam Malaysia Berhad.

Ucapan Perasmian oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan & Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan BIMB

Karnival ini turut menjadi pentas pelancaran rasmi Projek BIMB Souq dan Program Hab Usahawan i-TEKAD#13@UPSI yang merupakan hasil kolaborasi strategik antara Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI dan BIMB. Inisiatif ini bertujuan melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan mempunyai daya tahan dalam bidang keusahawanan sebenar.

Majlis turut diserikan dengan gimik perasmian serta penyerahan cenderamata kepada tetamu kehormat. Seterusnya, tetamu kehormat melawat tapak pameran keusahawanan pelajar dan tapak projek BIMB Souq yang menempatkan perniagaan pelajar UPSI. Pada masa yang sama, turut diadakan penyerahan mock cheque dan sijil penyertaan kepada peserta program BIMB Souq.

Lebih 50 kiosk jualan disertai oleh pelajar UPSI yang mempamerkan aneka jualan makanan dan minuman. Penganjuran ini turut menghimpunkan pelbagai program sokongan seperti Program Sehari Bersama SSM, Program Tutor Community Connect Session bersama MyTutor dan Program Business Talk bersama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Inisiatif ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendalami ilmu keusahawanan secara lebih menyeluruh melalui perkongsian industri dan latihan praktikal.

Penganjuran Karnival Keusahawanan D’UPSI 2025 membuktikan komitmen UPSI untuk terus menjadi peneraju dalam bidang pembangunan modal insan dan keusahawanan pendidikan, seiring visi universiti untuk “Menjadi Peneraju Kebitaraan Pendidikan.”