Oleh: Nur Alyana Maisara Norsharul Nizam & Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob

Tanjong Malim, 23 November 2025 – Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains dan Matematik (FSM) telah berlangsung bersempena Mualim International Science, Technology, Innovation, Mathematics & Sustainability Fiesta (MIST’25). Majlis ini merupakan  satu platform pengiktirafan kepada pelajar ijazah sarjana muda yang telah menunjukkan kecemerlangan akademik pada semester lalu. Majlis yang telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, dekan FSM ini turut dihadiri oleh ahli pengurusan fakulti, dan barisan pensyarah.

Sebanyak dua sesi penganugerahan telah dijalankan mengikut jabatan iaitu sesi pagi melibatkan seramai 612 orang pelajar dari Jabatan Matematik dan 497 orang pelajar dari Jabatan Biologi. manakala di sebelah petang, seramai 222 orang pelajar daripada Jabatan Kimia dan 153 orang pelajar daripada Jabatan Fizik telah diraikan. Penyampaian sijil penghargaan bukan sahaja menjadi simbol kecemerlangan, malah sebagai dorongan untuk pelajar terus mencapai prestasi akademik yang lebih unggul pada masa hadapan.

Kehadiran lebih 200 keluarga pelajar turut menyerikan lagi majlis, sekali gus membuktikan sokongan moral keluarga merupakan faktor penting dalam kejayaan pelajar. Ramai ibu bapa yang hadir bersama anak masing-masing dan meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan akademik yang dikecapi. Penglibatan ibu bapa juga menyuntik semangat baharu kepada pihak fakulti untuk terus memperkasakan program akademik dan kokurikulum yang lebih berkualiti kepada para pelajar.

Dalam majlis yang sama, Dekan Fakulti Sains dan Matematik telah melancarkan FSM CarePlus+ bagi membuka ruang kepada ibu, bapa dan orang ramai untuk sama-sama menyumbang kepada kebajikan dan kemenjadian pelajar FSM. Dana sedia ada hanya memperoleh sumber daripada sumbangan staf telah mengumpul sebanyak RM113,545 sejak penubuhannya pada 2018. Dari jumlah itu sebanyak RM105,628 telah diagihkan kepada pelajar FSM yang berkeperluan dalam bentuk bantuan sara hidup, kupon makan, food bank, sokongan sakit kronik, bantuan perubatan, derma musibah dan bantuan keperluan belajar.

Secara keseluruhannya, majlis ini bukan sahaja menjadi wadah pengiktirafan, malah menjadi sumber inspirasi kepada pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian diri. Dengan kejayaan penganjuran Majlis Anugerah Dekan FSM pada tahun ini, diharapkan budaya kecemerlangan akademik dapat terus dipupuk dan diwarisi oleh generasi pelajar akan datang.