Oleh: Siti Nurazmira Binti Abdullah

Putrajaya, 9 November 2025 – Program KASIH Family Fun Run 2025 berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana ceria dan harmoni di Putrajaya Wetland Park, sekaligus memperkukuh hubungan kekeluargaan melalui aktiviti riadah santai yang berimpak positif. Acara ini menekankan kepentingan kesejahteraan fizikal dan mental dalam suasana menyeronokkan yang sesuai untuk seluruh keluarga.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ini dilaksanakan bersempena Sambutan Bulan Keluarga Malaysia. Program membawa mesej utama berdasarkan lima elemen KASIH (Kasih Sayang, Akhlak, Sihat & Selamat, Ilmu serta Harmoni). Melalui pendekatan ini, peserta bukan sahaja berpeluang mengeratkan silaturahim keluarga, malah didedahkan dengan nilai-nilai positif yang menyokong kesejahteraan diri dan komuniti. Program turut dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Haji Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan diiringi oleh Ketua Pengarah LPPKN, YBhg. Dato’ Abdul Shukur bin Abdullah.Acara larian santai sejauh 5KM ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi turut menekankan kesedaran kesihatan mental.

Setiap “checkpoint” sepanjang laluan disusun dengan konsep berbeza yang mengetengahkan mesej kesihatan mental antaranya ruang refleksi emosi, Aktiviti ringkas pengurusan stres, kata-kata motivasi, permainan interaktif serta interaksi positif bersama peserta lain. Permainan tradisional juga turut diketengahkan disamping meningkatkan pendekatan kearah kesejahteraan keluarga dan Kesihatan. Pendekatan ini bertujuan untuk membantu peserta memahami bahawa kesihatan mental adalah tanggungjawab bersama dan boleh diraikan dalam suasana yang harmoni dan menyeronokkan.

Selain itu, program ini turut memanfaatkan tenaga mahasiswa daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), khususnya melalui penglibatan Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba. Mahasiswa bertindak sebagai sukarelawan yang menguruskan peserta di setiap zon dan checkpoint, memastikan perjalanan acara berjalan lancar, sambil menyebarkan mesej positif berkaitan sokongan emosi, pengurusan stres, dan kepentingan kesejahteraan mental. Penglibatan mereka bukan sahaja memberi pengalaman praktikal dalam pengurusan acara dan khidmat masyarakat, malah memperkukuh semangat kesukarelawanan serta rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan belia universiti.

Program KASIH Family Fun Run 2025 juga menyediakan pelbagai aktiviti tambahan yang menyeronokkan untuk peserta, termasuk sesi senaman ringan bersama jurulatih bertauliah, persembahan muzik santai, aktiviti kreatif untuk kanak-kanak, dan ruang berkongsi inspirasi daripada ahli psikologi. Aktiviti-aktiviti ini memberi impak positif secara menyeluruh kepada fizikal, mental, dan emosi peserta, sekali gus menjadikan pengalaman larian ini lebih bermakna dan berkesan.

Dengan kejayaan program ini, mesej utama yang disampaikan jelas iaitu keluarga, kesihatan fizikal, dan kesihatan mental adalah komponen penting dalam membina masyarakat yang sejahtera. Kejayaan KASIH Family Fun Run 2025 membuktikan bahawa pendekatan santai, interaktif, dan berorientasikan komuniti mampu menyemarakkan kesedaran terhadap gaya hidup sihat dan kesejahteraan mental, sambil mengeratkan ikatan kekeluargaan serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.