Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Shirling Wong
Sarawak, 19 September 2025 – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Mod Pesisir Kuching bagi Program Pendidikan Khas mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih dua Anugerah Emas, dua Anugerah Perak dan satu Anugerah Gangsa dalam The 6th International Joint Seminar on Pedagogy and Innovation in Education (TIJSOPIE) 2025. Seminar berprestij yang mengangkat tema “Catalysing Pedagogical Innovation” itu menjadi platform antarabangsa untuk mempamerkan inovasi pendidikan kreatif dan aplikatif selari dengan keperluan global. Pencapaian ini membuktikan kemampuan mahasiswa UPSI Mod Pesisir Kuching bukan sekadar menguasai teori pendidikan, malah mampu menterjemahkannya kepada penyelesaian praktikal yang relevan dengan cabaran pendidikan kontemporari.

Dua inovasi berjaya mengungguli pertandingan dengan meraih Anugerah Emas di TIJSOPIE 2025. Projek WORDCARE: Play. Learn. Care menambat perhatian juri antarabangsa melalui pendekatan gamifikasi interaktif yang membantu murid berkeperluan khas (MBPK) menguasai kemahiran pengurusan diri. Pendekatan pembelajaran berasaskan permainan yang dipadukan dengan teknologi digital ini membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan mutu PdP pendidikan khas. Turut sama mengangkat nama UPSI ialah inovasi 4R FLASH yang juga memenangi Anugerah Emas. Inovasi literasi asas ini menumpukan kepada penguasaan Reading, wRiting, aRithmetic dan Reasoning. Integrasi pedagogi interaktif dengan teknologi digital menjadikan projek ini alat PdP yang berkesan dalam memperkukuh kemahiran asas murid sekolah rendah.

Dua inovasi berjaya menyerlah di TIJSOPIE 2025 apabila kedua-duanya meraih Anugerah Perak melalui idea yang segar dan berimpak tinggi. Projek Doughmaze (Carbon–Cari Bahan Donat) memperkenalkan eksperimen sains berasaskan STEM dalam bentuk maze interaktif. Pendekatan ini bukan sahaja merangsang kreativiti murid, malah meningkatkan minat mereka terhadap penerokaan konsep karbon dalam kehidupan harian. Turut memenangi Anugerah Perak ialah Kit Pembelajaran Interaktif Stop & Go: My Safe Boundaries, yang memberi tumpuan kepada pendidikan keselamatan diri murid. Dengan reka bentuk mesra pengguna serta aktiviti interaktif yang menyeronokkan, kit ini membantu murid memahami sempadan peribadi dan membezakan antara situasi selamat dan tidak selamat.
Dalam kategori Anugerah Gangsa pula, projek SHAFUN menyerlah dengan kaedah interaktif untuk meningkatkan penguasaan asas bahasa. Aplikasi ini menawarkan pembelajaran linguistik yang santai, kreatif dan menyeronokkan, menjadi alternatif kepada kaedah tradisional yang lebih rigid.

Menurut pensyarah pembimbing Dr. Vestly Kong Liang Soon, kejayaan ini lahir daripada kemampuan mahasiswa melihat isu sebenar di bilik darjah dan menterjemahkannya kepada inovasi yang boleh terus diguna pakai oleh guru dan murid. Beliau menegaskan bahawa pencapaian tersebut membuktikan sinergi kukuh antara teori dan amalan dalam kalangan mahasiswa Mod Pesisir. Secara keseluruhannya, pencapaian mahasiswa UPSI Mod Pesisir Kuching bagi Program Pendidikan Khas di TIJSOPIE 2025 bukan sekadar kemenangan pingat tetapi pengiktirafan terhadap dedikasi, kreativiti dan profesionalisme mereka sebagai Pendidik Bumi Kenyalang. Kemenangan ini turut mengukuhkan reputasi UPSI sebagai peneraju pendidikan unggul yang berupaya melahirkan pendidik kompeten serta inovatif di pentas Malaysia dan antarabangsa. Kejayaan ini membuktikan bahawa pendidikan berinovasi merupakan kunci transformasi masa depan bermula dari bilik darjah tempatan hingga ke arena global
