Oleh: Muhammad Ruzaini Mohd Shofe & Mohamad Kamal Kamaruddin

TANJONG MALIM, 15 November 2025 – Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Jabatan Sejarah Universiti Malaya telah menganjurkan Forum Sejarah Membentuk Keperibadian: Nilai Kepimpinan Tokoh Nusantara di Dewan Konvensyen Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Program ilmiah tersebut menghimpunkan seramai 71 peserta dari UPSI, 40 peserta dari Universiti Malaya serta 18 ahli jawatankuasa PERMAS.

Program anjuran Exco Akademik Pembangunan Sahsiah PERMAS itu bertujuan memperkasa pemahaman pelajar terhadap nilai kepimpinan tokoh-tokoh sejarah Nusantara sebagai asas pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa. Forum yang berformatkan perbahasan ilmiah ini menampilkan dua ahli panel tersohor bidang sejarah, iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dari Universiti Malaya sebagai panel pertama, dan Prof. Madya Dr. Nazirah Lee dari UPSI sebagai panel kedua. Sesi forum dikendalikan oleh Muhammad Ruzaini Mohd Shofe, mahasiswa Jabatan Sejarah UPSI merangkap moderator.

Sepanjang sesi berlangsung, peserta berpeluang meneliti wacana ilmiah mengenai nilai keperibadian tokoh sejarah Nusantara yang relevan dengan cabaran globalisasi masa kini. Program turut diserikan dengan aktiviti fotografi bagi merakam detik bermakna penyertaan mahasiswa daripada kedua-dua institusi.

Ucapan aluan dan perasmian daripada Dr. Abu Zarrin Selamat

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FSK, Dr. Abu Zarrin Selamat, dalam ucapan perasmian menzahirkan penghargaan kepada PERMAS atas penganjuran program berimpak tinggi itu. Beliau turut mengalu-alukan penglibatan mahasiswa dari Universiti Malaya yang hadir sebagai sokongan kolaborasi ilmiah antara dua universiti. Menurut beliau, forum sebegini mampu memperkukuh pemahaman pelajar terhadap pendekatan perbahasan sejarah, sekali gus merangsang pemikiran kritis dan kefahaman mengenai nilai kepimpinan tokoh Nusantara yang dapat diterapkan dalam kehidupan dan kepimpinan mahasiswa.

Majlis turut menyaksikan penyampaian plak penghargaan kepada kedua-dua panel sebagai tanda apresiasi atas perkongsian ilmu. Program diteruskan dengan sesi perbincangan forum serta penyertaan aktif peserta yang mengikuti perbahasan dengan penuh tumpuan.

Seusai program, seramai 40 peserta dari Universiti Malaya dibawa melawat Perpustakaan Tuanku Bainun dan Galeri Seni Kampus Sultan Abdul Jalil Shah sebagai inisiatif memperkenalkan fasiliti akademik UPSI.

Salah seorang peserta dari Universiti Malaya menyatakan bahawa perincian nilai kepimpinan tokoh Nusantara yang dibincangkan sangat bermakna dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan membentuk keperibadian mahasiswa dalam mendepani cabaran era moden. Peserta turut menyatakan keterujaannya berpeluang melawat Perpustakaan Tuanku Bainun dan Galeri Seni, yang dianggap memiliki keunikan tersendiri.

Secara keseluruhannya, forum ini berjaya memberikan impak positif kepada mahasiswa UPSI dan Universiti Malaya yang terlibat. Program ini bukan sahaja memperluas pemikiran pelajar terhadap nilai kepimpinan tokoh Nusantara dalam konteks sejarah dan kontemporari, malah turut memperkenalkan kemudahan akademik UPSI kepada masyarakat luar. Penganjur berharap program ilmiah seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memperkukuh ilmu sejarah dan sahsiah mahasiswa di peringkat kebangsaan.