Oleh: Muhammad Isyraf Firdaus Hassim
Masjid Tanah, 12 Disember 2025 – Program Projek Santun Masyarakat Kolej Matrikulasi Melaka yang telah dilaksanakan pada 12 Disember 2025 bertajuk (Technovate: “Smart Robotics & Aquaponics Innovation Program”) merupakan satu inisiatif holistik yang dirangka bagi memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pendidikan di samping menyumbang kepada pemindahan ilmu dan kemahiran kepada komuniti pelajar secara berkesan dan bermakna.
Kerjasama yang erat turut terjalian melibatkan Fakulti Teknikal & Vokasional, UPSI dengan pihak Kolej Matrikulasi Melaka. Program ini bermula seawal pagi dengan adanya sesi pendaftaran serta taklimat program yang berperanan memberikan gambaran menyeluruh tentang objektif, pengisian dan hala tuju program.


Sesi ice breaking yang dilaksanakan turut membantu mewujudkan suasana yang mesra, terbuka dan kondusif, sekali gus menggalakkan interaksi positif antara fasilitator dan peserta. Sesi ini juga telah memberikan semangat kepada para pelajar untuk menyemai semangat ingin belajar sepanjang program berlangsung.
Selain dapat mengenali fasilitator dengan peserta, sesi ini juga turut mengukuhkan ukhuwah antara satu sama lain. Pengisian utama program diteruskan dengan slot pengenalan Microbit dan asas pengekodan, di mana peserta didedahkan kepada konsep asas pengaturcaraan, fungsi Microbit serta cara penggunaan Microbit Kit secara praktikal melalui pendekatan pembelajaran berasaskan amali.



Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta terhadap teknologi digital dan robotik, malah berjaya merangsang pemikiran logik, kreatif dan kemahiran menyelesaikan masalah secara sistematik.
Seterusnya, program diteruskan dengan slot pengenalan Kit Kereta dan Kit Bot yang melibatkan aktiviti pemasangan, pengujian pergerakan serta perlumbaan bot di atas air, sekali gus memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan pengekodan dan konsep mekanikal dalam situasi sebenar secara berpasukan.



Aktiviti ini secara tidak langsung memupuk nilai kerjasama, komunikasi berkesan, disiplin serta keyakinan diri dalam kalangan peserta. Aktiviti Kit Bot pula merupakan satu aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman yang menggabungkan proses pemasangan, pengujian pergerakan serta perlumbaan bot di atas air.
Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan dan konsep mekanikal secara langsung dalam situasi sebenar melalui kerja berpasukan. Secara tidak langsung, program ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal, malah berjaya memupuk nilai kerjasama, komunikasi berkesan, disiplin serta keyakinan diri dalam kalangan peserta, sekali gus melahirkan individu yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.


Pada sesi petang pula, peserta didedahkan kepada konsep dan aplikasi sistem akuaponik melalui slot penerangan dan aktiviti praktikal yang merangkumi kaedah penanaman, pengendalian sistem serta kepentingan pertanian lestari dalam menghadapi cabaran keselamatan makanan masa kini.
Pendedahan ini berjaya meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan inovasi hijau dan teknologi mesra alam selari dengan aspirasi pembangunan mampan.



Program ini diakhiri dengan Majlis Penutupan yang penuh bermakna, merangkumi ucapan perasmian, penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada pihak Kolej Matrikulasi Melaka serta sesi bergambar sebagai simbol kejayaan dan kenangan bersama, sekali gus membuktikan bahawa Smart Robotics & Aquaponics Innovation Program bukan sahaja berjaya mencapai objektif pembelajaran dan khidmat masyarakat, malah memberi impak positif dalam membentuk generasi pelajar yang celik teknologi, berfikiran inovatif serta prihatin terhadap kelestarian alam dan pembangunan komuniti.


Menurut Pensyarah Subjek, Profesor Madya Dr. Zaliza Hanapi, program seperti ini sangat berkesan dalam menghubungkan teori dan amali, selain mampu menyemai minat mendalam terhadap teknologi serta inovasi dalam kalangan pelajar. Secara keseluruhannya, Projek Santun Masyarakat “Technovate: Smart Robotics & Aquaponics Innovation Program” berjaya mencapai objektifnya dan diharapkan dapat diteruskan sebagai program tahunan pada masa akan datang di Kolej Matrikulasi Melaka.
