Oleh: Dr. Murni Azureen Mohd Pakri
Serdang, 19 Disember 2025 – Seramai 55 orang pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai satu lawatan akademik ke Farm Fresh @ UPM dan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memperkukuh kefahaman berkaitan aspek pengembangan pertanian serta pengurusan projek dalam industri pertanian.
Lawatan tersebut melibatkan pelajar yang mengikuti kursus Pengenalan Pengembangan Pertanian [pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Pengembangan Pertanian) dengan Pendidikan – Semester 1] dan Pengurusan Projek Pertanian [pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian – Semester 7]. Program ini telah diselia oleh pensyarah kursus, Dr. Murni Azureen Mohd Pakri, dengan bantuan seorang Penolong Pegawai Pertanian.
Lawatan dimulakan dengan sesi perkongsian akademik di Dewan Fakulti Pertanian, UPM yang melibatkan pelajar UPSI bersama pelajar Bacelor Sains Pertanian Pintar (Semester 1) serta beberapa pelajar Bacelor Sains Pertanian (Semester 7) UPM. Sesi tersebut dikendalikan dengan kerjasama pensyarah Fakulti Pertanian UPM, iaitu Dr. Jasmin binti Arif Shah dan Dr. Nur Bahiah Mohamed Haris.
Menurut Dr. Murni Azureen, sesi perkongsian ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai struktur program pengajian, pendekatan pembelajaran serta penggunaan teknologi pintar dalam bidang pertanian. Melalui sesi interaktif ini, pelajar UPSI dan UPM berpeluang bertukar pandangan, mengemukakan soalan serta membandingkan pengalaman pembelajaran di kedua-dua institusi.
“Hasil daripada sesi ini, pelajar bukan sahaja memahami perbezaan dan persamaan struktur program pengajian di UPSI dan UPM, malah dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, perbincangan akademik serta pemikiran kritikal,” katanya.

Komponen utama lawatan diteruskan dengan lawatan akademik ke Farm Fresh @ UPM, yang bertujuan memberi pendedahan praktikal berkaitan pengurusan ladang berskala besar, agropelancongan, rantaian nilai pertanian, penggunaan teknologi moden serta amalan kelestarian industri pertanian.
Pelajar dibawa meninjau keseluruhan kawasan ladang seluas kira-kira 90 ekar menggunakan tram, meliputi kawasan tanaman, ternakan, pusat penjualan produk serta kawasan agropelancongan. Lawatan ini memperlihatkan rantaian nilai pertanian secara menyeluruh, bermula daripada pengeluaran bahan mentah sehingga ke proses akhir pemasaran produk.
Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada perancangan ruang, aliran kerja operasi, pengurusan projek berskala besar serta konsep integrasi ladang bersepadu, termasuk operasi penghasilan Black Soldier Fly (BSF) yang diaplikasikan di ladang berkenaan.

Dalam sesi lawatan tersebut, pelajar turut meninjau operasi harian ladang melibatkan ternakan tenusu, tanaman sokongan, kebajikan haiwan, proses pembuatan kompos serta amalan pertanian lestari. Penerangan oleh pemandu pelancong ladang merangkumi proses pengurusan lembu tenusu secara berperingkat, penghasilan susu, pengurusan sisa ternakan menjadi kompos untuk kegunaan semula di kawasan tanaman, kawalan kualiti, penggunaan teknologi serta strategi kelestarian industri.
Secara keseluruhannya, lawatan akademik ini bukan sahaja menyokong hasil pembelajaran kursus Pengurusan Projek Pertanian, khususnya dalam konteks pengurusan projek berskala besar dan industri, malah memperkukuh pelaksanaan konsep Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (Experiential Learning).
Bagi kursus Pengembangan Pertanian, lawatan ini memberi kefahaman langsung kepada pelajar tentang peranan industri sebagai rakan strategik dalam pemindahan teknologi, inovasi dan amalan terbaik kepada komuniti pertanian serta pihak berkepentingan, sekali gus membolehkan pengetahuan teori diaplikasikan secara praktikal di lapangan.
