Oleh: Dr. Mohd Nazri Abdul Raji
TANJONG MALIM, 05 JANUARI 2026 – Usaha memelihara dan memperkasa warisan kuih serta manisan tradisional Malaysia terus diperkukuh menerusi pelaksanaan satu projek akademik dalam kalangan pelajar Kursus Masakan Timur di bawah Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kuih dan manisan tradisional yang merupakan antara warisan tidak ketara negara mencerminkan kepelbagaian budaya, sejarah serta identiti masyarakat tempatan. Namun, arus pemodenan dan perubahan gaya hidup generasi muda dilihat semakin menjarakkan pengetahuan serta amalan penyediaan makanan tradisional ini. Sehubungan itu, pelaksanaan projek berkenaan dilihat sebagai inisiatif berkesan bagi memastikan kelestarian warisan kulinari negara terus terpelihara.
Projek tersebut dilaksanakan menerusi tugasan berkumpulan yang memerlukan pelajar menyediakan kuih atau manisan tradisional mengikut negeri-negeri di Malaysia. Setiap kumpulan dikehendaki menjalankan kajian awal berkaitan latar belakang kuih atau manisan, bahan utama, teknik penyediaan serta nilai budaya yang terkandung dalam hidangan berkenaan.

Pendekatan ini bukan sahaja menekankan aspek kemahiran praktikal dalam penyediaan makanan, malah menggalakkan pembelajaran berasaskan penyelidikan serta pemahaman budaya secara menyeluruh dalam kalangan pelajar.
Selain penghasilan produk, para pelajar turut diminta mempersembahkan kuih atau manisan tradisional yang disediakan dengan menggabungkan tema tradisional Malaysia dan elemen moden. Elemen persembahan ini bertujuan menilai kreativiti pelajar dalam mengekalkan identiti asal kuih tradisional sambil menyesuaikannya dengan citarasa serta kehendak pasaran semasa.
Antara kriteria penilaian utama projek ini termasuk gaya persembahan, kualiti produk dari segi rasa dan tekstur, serta penggunaan bahan tempatan yang segar dan mudah diperoleh. Semasa sesi penilaian, setiap kumpulan turut diminta menerangkan kuih atau manisan yang dihasilkan daripada pelbagai aspek termasuk sejarah, kaedah penyediaan dan nilai budayanya.
Penekanan terhadap penggunaan bahan tempatan diberi perhatian bagi menyokong kelestarian sumber makanan setempat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan ekonomi tempatan. Pada masa sama, aspek kualiti produk memastikan pelajar menguasai teknik masakan yang betul serta memahami keseimbangan rasa dan tekstur yang menjadi ciri utama kuih dan manisan tradisional Malaysia.









Antara kuih dan manisan tradisional yang dihasilkan menerusi projek ini ialah cek mek molek, sopang, abok-abok, dangai, sagu, wadai kepeng, buah melaka, sawella, putu perak, lompat tikam, tok aji serban, puding diraja, bongkol, nagasari dan bubur pulut hitam.





Seorang pelajar Kursus Masakan Timur, Howell Anak Lau berkata, penyediaan kuih tradisional berkenaan bukan sahaja memberi pengetahuan dan kemahiran baharu, malah membuka peluang kepada pelajar untuk memahami kepentingan melestarikan budaya makanan tradisional agar tidak ditelan arus zaman.
Secara keseluruhan, projek ini bertujuan memberi pendedahan serta pengalaman langsung kepada generasi muda dalam penyediaan kuih dan manisan tradisional yang semakin dilupakan. Pelaksanaannya dalam konteks pendidikan formal dilihat mampu menyumbang kepada pemeliharaan berterusan warisan kulinari Malaysia, di samping melahirkan graduan berkemahiran yang peka terhadap nilai budaya dan identiti negara.
