Oleh: Aina Nazira Binti Mohd Addeli

Tanjong Malim, 27 Disember 2025 – Lajnah Kesenian dan Kebudayaan (LKK), Persatuan Bahasa Arab (PBA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan pertandingan pementasan teater Bahasa Arab kali ke 3 (Masrahiyyah 3.0) yang bertempat di Dewan Kolej Za’ba, UPSI. Penganjuran program ini bertujuan memantapkan kecekapan berbahasa arab dalam kalangan pelajar melalui pendekatan lakonan yang diaplikasikan kemahiran bahasa secara autentik dan interaktif. Selain itu, Masrahiyyah 3.0 juga memberi input kepada pelajar dalam meningkatkan kemahiran insaniah yang merangkumi aspek kepimpinan, komunikasi berkesan serta keyakinan diri ketika berinteraksi dalam situasi formal mahupun tidak formal. Pertandingan ini melibatkan pelajar tahun pertama 2025/2026, AT49- Program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan, UPSI.

Program ini dengan jayanya telah dirasmikan oleh Dr. Mohammad Taufiq bin Abdul Ghani selaku Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan) Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI. Beliau menekankan bahawa aktiviti lakonan ini bukan sahaja menyokong pembangunan kemahiran dalam berkomunikasi dan penguasaan bahasa yang lebih berkesan, bahkan mampu membina keyakinan diri serta keberanian pelajar terhadap pengucapan awam di khalayak ramai. Ujar beliau, “program ini merupakan platform untuk pelajar mempraktikkan penggunaan bahasa arab dalam pertuturan. Oleh sebab itu, penggunaan bahasa arab ini tidak boleh terbatas di sini sahaja, malah ia patut diterapkan juga dalam pertuturan harian”.

Turut hadir penasihat teater, Dr. Elsayed Makki Elbishr Ali Hassan yang menjadi tunjang dalam memberi bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang persiapan teater ini. Program ini diketuai oleh Hariz Hamizan Bin Hamdan Hamidin selaku pengarah program masrahiyyah 3.0. Sebagai tambahan, program ini telah berjaya menarik kehadiran penonton dari pelbagai jurusan bagi sama-sama menyokong dan memeriahkan masrahiyyah 3.0.

Terdapat tujuh buah kumpulan yang mengambil bahagian dalam pertandingan masrahiyyah 3.0. Setiap kumpulan membawakan cerita yang berbeza untuk dipersembahkan kepada kira-kira 360 orang penonton. Masrahiyyah 3.0 ini bukan sahaja mempamerkan kebolehan berbahasa arab dalam kalangan peserta, malah turut menonjolkan kreativiti pelajar, kemahiran berlakon serta memupuk semangat kerjasama yang baik dalam setiap kumpulan.

Masrahiyyah 3.0 ini membawakan tema Kisah Rakyat yang sarat dengan nasihat dan pengajaran. Antara penceritaan yang dipersembahkan ialah Kisah Batu Belah Batu Bertangkup, Aladdin dan Jin, Si Tanggang, Puteri Gunung Ledang, Ali Baba, Bawang Merah Bawang Putih dan Puteri Limau.

Majlis penutupan masrahiyyah 3.0 diserikan dengan sesi penyampaian hadiah kepada tujuh buah kumpulan yang telah menampilkan pementasan teater mengikut tema cerita masing-masing dengan penuh kreativiti dan penghayatan Bahasa. Sesi penyampaian hadiah ini telah disempurnakan oleh Dr. Elsayed Makki Elbishr Ali Hassan kepada para pemenang bagi tempat pertama, kedua, ketiga dan saguhati.

Secara keseluruhannya, program masrahiyyah 3.0 anjuran persatuan bahasa arab UPSI bukan hanya sebuah persembahan tetapi lambang kesungguhan dan dedikasi pelajar AT49 dalam menggabungkan ilmu, kemahiran komunikasi, keyakinan, keberanian dan kreativiti. Hal ini, telah membuktikan bahawa pelajar Ijazah Sarjanah Muda Bahasa Arab Dengan Pendidikan UPSI berupaya menjayakan projek berskala besar secara professional dan berintegriti. Diharapkan agar program masrahiyyah 3.0 ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform yang berkesan dalam memupuk minat, meningkatkan penguasaan serta penghayatan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar, di samping melahirkan bakat baharu yang berpotensi dalam bidang seni persembahan dan kebahasaan.