Oleh: Asyraf Mursyidi dan Atiqah Ariani
Tanjong Malim, 30 Disember 2025 – Dalam usaha memperkukuh penghayatan rohani dalam kalangan mahasiswa, satu program berunsur kerohanian bertajuk “Gema Iman: Malam Ambang Tahun Baru” telah berjaya dianjurkan sebagai satu inisiatif untuk mempertingkatkan kesedaran iman serta pembinaan sahsiah mahasiswa/i.
Program anjuran Exco Modal Insan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) Sidang 2025/2026 berjaya menghimpunkan para mahasiswa/i dalam suasana penuh penghayatan melalui pengisian yang penuh berfaedah dengan nilai-nilai keagamaan sebagai inisiatif untuk memberi pendedahan tentang alunan qasidah dan sesi tausiah.

Pengarah Program Gema Iman, Muhammad Faris Iman bin Abdul Razak menyatakan harapan beliau agar program ini dapat menjadi platform berterusan dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, emosi dan iman. “Semoga program ini juga dapat melahirkan mahasiswa/i yang berakhlak mulia, berdaya saing serta peka terhadap tanggungjawab sosial”.
Ucap Cik Ummikalsum binti Mat Lazim, Felo Penasihat Program dalam ucapan perasmian beliau, beliau menekankan kepentingan muhasabah diri dan persediaan rohani. “Mahasiswa perlu sentiasa melakukan muhasabah diri agar mampu membina jati diri yang kukuh serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dengan lebih berkesan.”

Secara keseluruhannya, Program Gema Iman bukan sahaja berfungsi sebagai pengisian rohani sempena ambang tahun baru, malah menjadi platform penting dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, emosi dan iman.

