Oleh: Alif Aidilazma
Tanjong Malim, 28 Disember 2025 – Mission: Fire Ready!, latihan kebakaran tahunan yang dianjurkan oleh Exco Hal Ehwal Residensi, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 25/26, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran 3,000 penghuni kolej terhadap situasi kecemasan.

Dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim serta pihak Gemilang UPSI, program ini memberi pendedahan praktikal serta pengetahuan asas berkaitan langkah keselamatan ketika berlakunya kebakaran.
Para penghuni didedahkan dengan laluan yang sepatutnya mereka lalui menuju ke assembly point agar mereka tahu untuk bertindak sewajarnya sekiranya berlakunya kecemasan yang sebenar pada masa akan datang.
Program ini turut disusuli dengan lakonan simulasi kecemasan melibatkan beberapa ahli jawatankuasa yang berperanan sebagai mangsa kebakaran, lengkap dengan kesan terbakar dan kecederaan serta tindakan yang perlu diberikan sebagai bantuan awal kepada mereka. Simulasi ini bertujuan memberi gambaran realistik kepada penghuni tentang tahap keseriusan situasi kecemasan yang boleh berlaku.

Wakil bomba turut memberikan penerangan mengenai punca kebakaran, langkah pencegahan dan memperkenalkan penggunaan alat keselamatan seperti alat pemadam api kepada semua penghuni.
Demonstrasi penggunaan alat pemadam api telah dijalankan apabila beberapa penghuni terpilih diberi peluang untuk mencuba memadamkan api kecil, sekali gus membina keyakinan mereka untuk bertindak sewajarnya sebelum bantuan tiba.

Latihan kebakaran ini menunjukkan komitmen UPSI dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penghuni kolej. Diharapkan program sebegini diteruskan bagi tahun-tahun berikutnya bagi menanam budaya peka terhadap keselamatan dalam kalangan penghuni kolej.
