Pelajar bergambar bersama media bancuhan stepping slab hasil inovasi mereka
Oleh: Ts. Dr.Mohd Amirul Hussain
TANJONG MALIM, November 2025 – Sekumpulan pelajar Kursus Asas Reka Bentuk Landskap dari Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berjaya menghasilkan inovasi stepping slab mesra alam dengan penggunaan bahan kitar semula.
Projek ini dijalankan sebagai tugasan kursus di bawah seliaan Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, yang menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan aplikasi amali dalam reka bentuk landskap. Pelajar diminta menghasilkan stepping slab menggunakan bahan asas sedia ada, namun diperkaya dengan penambahan serat daripada sisa kertas terpakai sebagai elemen inovasi.
Menurut Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, projek ini memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan inovasi bahan dan amalan lestari. “Melalui tugasan ini, pelajar bukan sahaja belajar menghasilkan elemen landskap secara praktikal, malah didorong untuk berfikir secara kritikal tentang bagaimana bahan buangan boleh dimanfaatkan semula,” jelas beliau.

Stepping slab disediakan menggunakan nisbah campuran 3 bahagian pasir, 3 bahagian air, 2 bahagian simen dan 1 bahagian serat kertas terpakai (3:3:2:1). Penambahan serat kertas berfungsi sebagai sokongan tambahan dalam struktur, tanpa mengubah bahan asas. Berdasarkan penilaian awal pelajar, campuran ini dianggarkan mampu menjimatkan kos dan penggunaan bahan sehingga 18 peratus, selain mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah baharu.
Selain inovasi bahan, projek ini menekankan kemahiran teknikal seperti penyediaan acuan, kawalan nisbah campuran, proses pengeringan dan penilaian hasil akhir. Pelajar juga didedahkan kepada aspek fungsi dan estetika, memandangkan stepping slab digunakan secara meluas di taman rekreasi, laluan pejalan kaki dan kawasan perumahan.



Hasil kerja menunjukkan potensi aplikasi sebenar, khususnya bagi projek landskap berskala kecil yang memerlukan penyelesaian praktikal, kos efektif dan mesra alam. Projek ini membuktikan bahawa inovasi hijau boleh bermula daripada idea ringkas dan bahan sedia ada, tanpa memerlukan teknologi kompleks atau kos tinggi.
Melalui bimbingan pensyarah dan pendekatan pembelajaran yang menyokong kreativiti, pelajar UPSI mampu menghasilkan idea inovatif yang relevan dengan keperluan semasa industri dan masyarakat, sambil menanamkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
