Tanjong Malim – Pertunjukan fesyen bertemakan “L’ Imagination Sans Limite” yang berlangsung pad 13 Januari 2026 bertempat di Scholar’s Suites, Proton City, Tanjung Malim oleh pelajar dari Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI dalam bidang Pendidikan Ekonomi Rumah Tangga telah berani bereksperimentasi serta menyuntik elemen kontemporari yang lebih segar dengan menggabungkan kemajuan teknologi dalam pertunjukan fesyen mereka.
Pelajar-pelajar telah dibimbing oleh pensyarah kursus dari FTV iaitu Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis, dibantu oleh pegawai pereka iaitu Senijulita Johari dan Pn. Norizan Mohd Nor.



Majlis kali ini mengenengahkan lebih kurang 47 rekaan yang menonjolkan keindahan kepelbagaian fabrik, keaslian serta kehalusan pelbagai seni tekstil iaitu anyaman yang mengenengahkan pelbagai jenis ikatan, dan jenis fabrik pelbagai, yarn dan fibre yang digunakan dalam rekaan.
Pertunjukan fesyen dalam kalangan pelajar fesyen bukan sekadar acara pameran busana, malah merupakan satu platform pembelajaran yang penting dalam membentuk kreativiti, profesionalisme, dan kebolehpasaran graduan dalam industri fesyen.
Melalui pertunjukan ini, pelajar berpeluang menterjemahkan idea dan konsep reka bentuk ke dalam persembahan visual yang menyeluruh dan berimpak tinggi.



Dalam konteks pendidikan fesyen, pertunjukan fesyen berfungsi sebagai pembelajaran berasaskan amali yang mengintegrasikan teori dan praktis.
Pelajar dinilai daripada aspek kreativiti dan kemahiran teknikal pembuatan pakaian, Pertunjukan fesyen pelajar juga menjadi medium ekspresi identiti reka bentuk dan inovasi kreatif.
Pelbagai tema diketengahkan, termasuk kelestarian, warisan budaya, isu sosial, serta penerokaan bahan dan teknologi baharu dalam fesyen.
Pendekatan ini menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kontekstual, sekali gus menjadikan fesyen sebagai medium komunikasi visual yang bermakna dan relevan dengan perkembangan semasa.



Selain itu, majlis dihadiri oleh 15 orang daripada industri fesyen tempatan yang berperanan sebagai jambatan antara institusi pendidikan dan industri.
Kehadiran pereka profesional, wakil industri, alumni dan pihak berkepentingan membuka peluang jaringan serta pendedahan awal kepada dunia kerjaya.
Maklum balas yang diterima secara langsung membantu pelajar menilai kualiti hasil rekaan mereka serta meningkatkan tahap profesionalisme sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Kesimpulannya, pertunjukan fesyen pelajar merupakan komponen penting dalam pendidikan fesyen yang holistik.
Ia bukan sahaja menilai kebolehan teknikal dan artistik pelajar, malah berperanan sebagai latihan profesional yang menyeluruh dalam melahirkan graduan fesyen yang kreatif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri.
