Oleh: Muhamad Haikal Bin Musa

PUTRAJAYA, 20 Januari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan komitmen terhadap agenda pendidikan negara apabila menghantar wakil mahasiswa bagi menyertai Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 dan Majlis Peluncuran Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Penyertaan barisan pemimpin mahasiswa UPSI dalam majlis tersebut mencerminkan sokongan terhadap aspirasi nasional serta usaha memperkukuh peranan mahasiswa dalam pembangunan pendidikan tinggi negara, selari dengan pendirian UPSI untuk bergerak seiring dasar semasa kerajaan.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri dan dihadiri pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi serta wakil institusi pendidikan tinggi awam dan swasta dari seluruh negara.

Peluncuran PPTM 2026–2035 menandakan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan landskap pendidikan tinggi negara dengan penekanan kepada pendekatan dokumen hidup, pembangunan bakat negara berteraskan nilai kemanusiaan, integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI), serta peluasan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan fleksibel.

Melalui penyertaan ini, mahasiswa UPSI memperoleh pendedahan secara langsung terhadap hala tuju baharu pendidikan tinggi negara serta peranan strategik golongan muda sebagai rakan pelaksana dasar nasional.

UPSI komited untuk terus memperkasa kepimpinan mahasiswa dan menggalakkan keterlibatan aktif pelajar dalam wacana pendidikan demi melahirkan graduan berilmu, berintegriti dan berdaya saing.