Oleh: Dayangku Aisyah
Sabak Bernam, 17 Januari 2026 – Kasih sayang tidak lahir melalui kata-kata semata-mata, tetapi melalui keikhlasan dalam memberi dan menyantuni. Berteraskan kesedaran ini, Exco Prihatin dan Kesejahteraan Sosial, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan program KUO Force 4.0: Unite For Orphans (UFO) sebagai wadah untuk memupuk nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa. Program yang berteraskan kluster kesukarelawanan berpasukan ini turut menonjolkan peranan mahasiswa sebagai pemangkin perubahan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Program yang berlangsung di Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi ini bertujuan memupuk kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan tanggungjawab sosial serta nilai empati. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada aktiviti kemasyarakatan, malah menyemai sikap prihatin terhadap kerja-kerja kebajikan dalam kalangan peserta. Penganjuran program ini turut diperkukuh melalui kerjasama bersama Persatuan Integrasi Media (PIM), Persatuan Seni Visual (PERSENI), UiTM Kampus Puncak Alam serta sokongan rakan kolaborasi seperti DOKTEDOBI, Chicken Rice Ku, Al Fateh Catering, UPSI Holding dan Revebrew.
Sepanjang pelaksanaan program, pelbagai pengisian bermakna telah dijalankan merangkumi aktiviti gotong-royong, pendidikan pemakanan seimbang, aktiviti kreatif serta projek melukis mural bagi menceriakan persekitaran asrama. Selain itu, penganjuran slot sukaneka rakyat dan sesi ice breaking turut diadakan bagi mewujudkan suasana ceria serta mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan anak-anak yatim.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, James Michael Anak Edmit menzahirkan rasa syukur atas kelancaran penganjuran program di samping merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat. “Program ini dianjurkan dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran dan kepirhatinan terhadap nasib anak-anak yatim”.
“Penganjuran program seumpama ini amat signifikan kerana bukan sahaja memberikan pendedahan dan pengetahuan baharu, malah berupaya membentuk sahsiah pelajar dalam mengenang nasib anak-anak yatim. Saya berharap program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua yang terlibat dan menjadi platform yang berkesan dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan”. Ucap Felo Penasihat program, Puan Siti Norhuda Md Ali.

Majlis penutup dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Asrama, Puan Khadijah Hayat. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan atas inisiatif murni mahasiswa UPSI yang memilih Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi sebagai lokasi penganjuran. Menurut beliau, kehadiran para pelajar bukan sahaja menceriakan persekitaran fizikal melalui hasil mural, malah memberi kesan emosi yang signifikan kepada anak-anak yatim yang amat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada masyarakat. “Program sebegini dilihatnya merupakan sebuah inisiatif dalam menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan sokongan moral agar mereka terus berasa dihargai oleh masyarakat. Diharapkan program in dapat memberi keceriaan, membina semangat serta menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin”.

KUO Force 4.0: Unite For Orphans (UFO) telah berjaya membuka mata peserta dalam melihat bahawa kesedaran yang disusuli dengan tindakan mampu mencetuskan perubahan yang bermakna. Melalui program ini, diharapkan agar para peserta dapat menyerap nilai kemanusiaan yang tinggi dan seterusnya memperkasakan peranan mahasiswa sebagai penggerak utama ke arah kesejahteraan masyarakat pada masa akan datang.

