Oleh: Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis

TANJONG MALIM, 13 Januari 2026 – Pertunjukan fesyen bertemakan ‘L’ Imagination Sans Limite’ anjuran Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi platform penting dalam mengetengahkan kreativiti serta profesionalisme pelajar dalam bidang Pendidikan Ekonomi Rumah Tangga.

Acara yang berlangsung di Scholar’s Suites, Proton City di sini dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus, diiringi Dekan FTV Profesor Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Husain. Turut hadir ialah Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FTV Profesor Madya Dr. Zaliza Hanapi serta Ketua Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer Dr. Anisah Ab Wafi.

Pertunjukan berkenaan menampilkan keberanian pelajar FTV bereksperimentasi dengan idea baharu serta menyuntik elemen kontemporari menerusi gabungan kemajuan teknologi dalam rekaan fesyen. Bertemakan pakaian malam dan art to wear, setiap rekaan menggabungkan kepelbagaian fabrik, teknik serta tema bagi menghasilkan sentuhan seni yang moden dan segar.

Sebanyak 47 rekaan dipersembahkan, sekali gus menonjolkan keindahan seni tekstil seperti anyaman dengan pelbagai jenis ikatan, penggunaan fabrik, yarn dan fibre yang berbeza, selain menekankan aspek keaslian serta ketelitian dalam penghasilan busana.

Pelajar-pelajar terlibat dibimbing oleh pensyarah kursus FTV Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis, dengan sokongan pegawai pereka Senijulita Johari dan Norizan Mohd Nor.

Menurut Dr. Ridzwan, pertunjukan fesyen tersebut merupakan wadah terbaik bagi pelajar mengekspresikan rekaan pakaian yang inovatif, unik dan menawan, di samping mengandungi elemen tersirat untuk dinilai oleh penonton.

“Pameran sebegini bukan sahaja memberi penghargaan dan galakan kepada pelajar untuk terus berkarya, malah diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap seni fesyen tempatan,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.