Oleh: Dr. Zainun Mustafa dan Nurrul Insyirah Mohd Razali
TANJONG MALIM— Aktiviti seperti menyentuh, memetik dan mengganggu bunga serta tumbuhan perumahnya dikenal pasti sebagai antara punca ancaman terhadap Rafflesia sp. atau Bunga Pakma. Usaha penanaman di luar persekitaran semula jadi pula sering gagal kerana Rafflesia sp. bukan sahaja bergantung kepada tumbuhan perumah Tetrastigma, malah memerlukan keseimbangan keseluruhan ekosistem termasuk interaksi dengan hidupan lain.
Isu kritikal ini dibincangkan dalam Webinar Pendidikan Sains Konservasi Rafflesia anjuran Centre of Biodiversity and Conservation (CEBeC) dengan kerjasama Rakan Alam Sekitar (RAS), disokong oleh Kelab Rekreasi Luar (KERLU) serta tajaan Crowder-Messersmith Conservation Fund (CMCF) melalui Program Nature Forward yang menyokong usaha pendidikan sains berasaskan komuniti.

Sesi pertama webinar pada 7 Januari 2026 menampilkan wakil pemberi dana, Alan G. Johnston, yang berkongsi peranan daripada perspektif konservasi global, serta PM Dr. Syakirah Samsuddin, yang menjelaskan peranan mamalia kecil dalam kitar hidup dan kelangsungan Rafflesia sp. Sesi kedua pada 9 Januari 2026 pula menampilkan PM Dr. Fatimah Mohamed, yang membincangkan ancaman terhadap habitat Rafflesia sp., diikuti PM Dr. Nafizah Mohd Noor, yang menekankan peranan pendidikan awam sebagai asas kepada usaha konservasi jangka panjang. Kedua-dua sesi yang dimoderasikan oleh Zainun Mustafa dan Madhumita Suresh ini menghimpunkan ahli konservasi, pendidik, belia, pendaki dan pencinta alam, dengan mencatat 604 tontonan secara langsung pada sesi pertama, 565 pada sesi kedua, serta 574 tontonan tidak langsung melalui media sosial, menjadikan jumlah penyertaan melebihi 1,700 tontonan.

Hasil perbincangan webinar pendidikan sains konservasi ini akan dimanfaatkan dalam pembangunan panduan pendakian beretika berasaskan sains konservasi dan budaya setempat bagi menyokong pendidikan awam serta memastikan kelangsungan Rafflesia untuk generasi akan datang. Setinggi-tinggi penghargaan kepada penasihat dan ahli jawatankuasa program, panel jemputan, rakan kerjasama, serta kakitangan Jabatan ICT, atas penyediaan kemudahan.

