Oleh: Nur Kyra Elisya, Reeza Fahmi, Rabiatul Adawiah
Tanjong Malim, 22 Disember – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB) sidang 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Malam Bersama Felo Blok Delta bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar, Kolej Aminuddin Baki, di bawah pimpinan Pengarah Program, Muhammad Reeza Fahmi Pauzi, Exco Blok Delta.
Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan untuk menerangkan peraturan-peraturan kolej secara lebih terperinci, malah memperkukuh hubungan dalam kalangan penghuni-penghuni Blok Delta.
Selain itu, program ini juga menjadi platform bagi membina komunikasi antara penghuni serta pihak pentadbiran kolej.
Program ini dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Kebesaran Negeri Perak dan diiringi dengan bacaan doa.
Seterusnya, program ini diteruskan dengan ucapan daripada Felo Blok Delta, Muhammad Fawiz Bakri. Beliau menegaskan kepada para penghuni agar mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan keharmonian dalam kalangan penghuni sentiasa terjaga juga bagi menghindari salah laku serta perkara yang tidak diingini.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran serta ucapan daripada Zulkifli Mamat, Pengetua Kolej Aminuddin Baki.
Dalam ucapan beliau, Zulkifli memperkenalkan barisan pentadbiran Kolej Aminuddin Baki kepada para penghuni Blok Delta bagi mewujudkan hubungan yang lebih mesra, memudahkan urusan komunikasi, serta memberi pendedahan kepada peranan dan tanggungjawab pentadbiran dalam menjaga kebajikan penghuni kolej.


Selain itu, penekanan terhadap aspek disiplin dan sahsiah pelajar juga turut diberikan oleh beliau dengan tujuan untuk membentuk peribadi yang bertanggungjawab dalam kalangan penghuni.
Penganjuran Program Malam Bersama Felo Blok Delta telah berjaya menjadi satu wadah dalam memperkukuhkan hubungan antara felo blok dan penghuni. Selain itu, turut melahirkan penghuni yang bertanggungjawab dan berdisiplin.
Diharapkan agar program ini sedikit sebanyak dapat menjadi salah satu program yang dapat menggalakkan lebih banyak lagi pelaksanaan program yang dapat memberikan impak positif kepada para penghuni. Semoga program ini dapat memastikan hubungan harmoni yang berpanjangan dalam kalangan penghuni dan felo blok.
