Oleh: Lilia Ellany Mohtar, Zainun Mustafa, Rohaidah Masri, Muhd Ibrahim Muhamad Damanhuri,
Tanjong Malim, 26 Februari 2026 – Minat terhadap bidang STEM sering diperkatakan sebagai kunci kepada pembangunan modal insan masa depan. Namun, persoalannya, apakah sebenarnya yang mendorong murid untuk meminati subjek seperti Sains, Matematik dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT)/Asas Sains Komputer (ASK)?
Satu kajian telah dijalankan di Universiti Pendidikan Sultan Idris yang melibatkan 620 orang murid telah meneliti enam faktor utama yang mempengaruhi minat terhadap STEM. Kajian tersebut telah mendapati bahawa kandungan subjek, diri sendiri, guru, persekitaran pembelajaran, keluarga dan rakan sebaya merupakan faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi minat murid terhadap STEM.

Kandungan Subjek: Faktor Paling Konsisten
Antara semua faktor, kandungan subjek menunjukkan pengaruh yang tinggi terhadap minat dalam Sains dan Matematik. Murid cenderung meminati kandungan yang mereka anggap relevan dengan kehidupan seharian dan mempunyai kepentingan untuk masa depan akademik dan kerjaya.
Sebaliknya, RBT/ASK berada pada tahap sederhana. Mungkin kerana subjek ini lebih baharu diperkenalkan dalam kurikulum dan masih dalam proses pemantapan dari segi kefahaman serta penerimaan murid.
Diri Sendiri: Keyakinan Itu Penting
Faktor dalaman seperti minat intrinsik dan keyakinan diri turut memainkan peranan besar, khususnya dalam Sains dan RBT. Murid yang yakin dengan kebolehan mereka lebih cenderung menunjukkan minat yang tinggi.
Namun bagi Matematik, tahap minat masih sederhana. Ini mungkin berkait dengan persepsi bahawa Matematik adalah subjek yang sukar dan mencabar. Rasa takut atau kebimbangan terhadap kesilapan boleh mempengaruhi minat secara tidak langsung.
Guru dan Persekitaran: Kelas yang Hidup, Minat yang Subur
Dapatan menunjukkan guru dan persekitaran pembelajaran memberi kesan yang tinggi terhadap Sains dan RBT. Subjek yang melibatkan eksperimen, aktiviti hands-on dan penggunaan teknologi jelas lebih menarik perhatian murid.
Suasana kelas yang interaktif, penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) yang pelbagai serta pendekatan pedagogi yang kreatif menjadikan pembelajaran lebih bermakna. Bagi Matematik, dapatan sederhana memberi isyarat bahawa pendekatan pengajaran mungkin perlu dipelbagaikan agar lebih kontekstual dan dekat dengan pengalaman harian murid.
Keluarga dan Rakan Sebaya: Sokongan Sosial yang Bermakna
Menariknya, keluarga memberi pengaruh yang tinggi terhadap minat dalam Matematik dan RBT. Sokongan, dorongan dan perhatian ibu bapa terhadap subjek yang dianggap penting atau mencabar jelas memberi kesan kepada sikap murid.
Rakan sebaya pula berada pada tahap sederhana bagi semua subjek. Walaupun bukan faktor dominan, interaksi sosial tetap memainkan peranan sebagai sumber motivasi dan inspirasi dalam pembelajaran.
Apakah Maknanya Untuk Kita?
Dapatan ini membawa satu mesej penting iaitu minat terhadap STEM tidak boleh dibina melalui satu pendekatan sahaja. Ia memerlukan ekosistem yang menyokong: kandungan yang relevan, guru yang kreatif, suasana pembelajaran yang menarik, sokongan keluarga serta keyakinan diri murid itu sendiri.
Jika semua faktor ini digerakkan secara seiring, potensi murid dalam bidang STEM boleh diperkasa dengan lebih berkesan. Minat bukan sekadar muncul secara spontan, tetapi perlu dipupuk secara sedar dan berstrategi.
Akhirnya, persoalan sebenar bukan lagi “Mengapa murid kurang minat STEM?”, tetapi “Bagaimana kita boleh bersama-sama membina minat itu?”
