Kira-kira lebih 2000 kakitangan UPSI hadir ke Program Telaah Imarah Ramadan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.Kira-kira lebih 2000 kakitangan UPSI hadir ke Program Telaah Imarah Ramadan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Oleh Bazli Razak

TANJONG MALIM, 4 Mac 2026 – Program Telaah Imarah Ramadan sempena Perhimpunan Bulanan Edisi Mac 2026 anjuran Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) menyemarakkan budaya ilmu dan pembudayaan membaca dalam kalangan warga universiti sepanjang bulan Ramadan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penganjuran majlis itu bukan sekadar rutin bulanan, sebaliknya sarat dengan pengisian rohani dan intelektual menerusi tema “Telaah Imarah Ramadan”.

Menurut beliau, Ramadan wajar dimaknai bukan sahaja sebagai bulan berpuasa, malah sebagai bulan penyubur rohani, pengayaan ilmu dan pemerkasaan budaya membaca dalam kalangan warga kampus.

“‘Telaah’ merupakan inisiatif yang digerakkan atas cetusan idea kepimpinan negara untuk membudayakan amalan membaca melalui diskusi ilmiah secara kreatif dan reflektif.

“Ia diperkenalkan sebagai program audio siar bedah buku yang mengajak masyarakat menelusuri pemikiran serta kandungan karya penting secara terbuka dan mendalam,” katanya ketika menyempurnakan program berkenaan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Beliau berkata program itu telah dilancarkan oleh Perdana Menteri semasa Majlis Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 sebagai platform dialog ilmu mingguan yang meletakkan buku sebagai medium transformasi pemikiran dan pemupukan budaya intelek.

Md Amin berkata di peringkat universiti, inisiatif Telaah@UPSI membawa semangat tersebut ke kampus melalui sesi pembacaan, dialog dan diskusi buku antara warga akademik, pelajar serta komuniti, sekali gus mewujudkan suasana intelektual yang terbuka dan bermakna.

“Melalui kegiatan membaca dan diskusi ilmu, kita menggabungkan ibadah dengan pengetahuan, menjadikan Ramadan sebagai medan meningkatkan kesedaran, pemikiran reflektif dan aplikasi nilai dalam kehidupan seharian,” ujar beliau.

Md Amin ketika menyampaikan ucapan pada Program Telaah Imarah Ramadan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Mohd Hasbi (tengah) ketika mengendalikan sesi dialog ilmiah bersama , Ustaz Mohd Gunawan dan Ustazah Isfadiah pada Program Telaah Imarah Ramadan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Antara kakitangan UPSI yang hadir pada Program Telaah Imarah Ramadan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
 

Majlis itu turut diserikan dengan sesi dialog ilmiah menampilkan penceramah jemputan iaitu Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ustaz Mohd Gunawan Che Ab Aziz yang membawakan perspektif integriti dan tadabbur nilai dalam kehidupan profesional serta sosial.

Turut menjadi panel ialah Pendakwah dan Motivator, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki yang menyentuh dimensi rohani, motivasi serta pengamalan nilai Islam dalam konteks kehidupan harian, manakala sesi dikendalikan oleh Ustaz Mohd Hasbi Abdul Rahman dari Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.

Pada program yang sama turut diadakan sesi penyampaian anugerah peminjam buku terbanyak 2025 PTB sebagai pengiktirafan kepada warga universiti yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap budaya membaca.