Oleh Adila Munshi
PUTRAJAYA, 20 Januari 2026 — Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Menteri Pendidikan Tinggi serta Majlis Peluncuran Pelan Pendidikan Negara 2026–2035 yang berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Majlis tersebut menghimpunkan kepimpinan tertinggi universiti, pegawai kementerian serta pemimpin mahasiswa dari pelbagai institusi pendidikan tinggi di seluruh negara bagi mendengar amanat serta hala tuju pembangunan pendidikan tinggi Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapannya menegaskan kepentingan memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara agar mampu melahirkan graduan yang berdaya saing, berintegriti dan berkemahiran tinggi.



Beliau turut menyatakan bahawa Pelan Pendidikan Negara 2026–2035 akan menjadi kerangka strategik bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan dengan perkembangan global serta keperluan industri.
Kemuncak majlis ialah peluncuran rasmi Pelan Pendidikan Negara 2026–2035 oleh Perdana Menteri sebagai simbol komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara secara holistik.
Penyertaan wakil MPP UPSI dalam program tersebut memberi peluang kepada kepimpinan mahasiswa universiti itu memahami secara langsung hala tuju dasar pendidikan tinggi negara serta memperluas jaringan kerjasama dengan pemimpin mahasiswa dari institusi lain.

