Oleh Bonaventure Kinlius
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 13 Januari 2026 — Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (MPP UPSI) bersama 100 orang mahasiswa Borneo yang terdiri daripada pelajar Sabah dan Sarawak telah menyertai Karnival Pengangkutan Siswa MADANI dan FlySiswa 2026 sebagai satu inisiatif yang menyokong kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa, khususnya dalam aspek pengangkutan dan mobiliti pelajar.
Penglibatan mahasiswa UPSI dalam karnival ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kesejahteraan, keadilan sosial serta akses saksama terhadap kemudahan asas pendidikan tinggi.
Program tersebut turut memberi pendedahan secara menyeluruh kepada mahasiswa mengenai inisiatif FlySiswa serta kemudahan bantuan perjalanan yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu pelajar, khususnya dari Sabah dan Sarawak, yang perlu menanggung kos perjalanan udara yang tinggi untuk pulang ke kampung halaman.
Melalui penglibatan secara langsung dalam karnival ini, mahasiswa berpeluang mendapatkan maklumat yang tepat mengenai mekanisme permohonan, kelayakan serta tatacara penggunaan manfaat FlySiswa dan inisiatif Pengangkutan Siswa MADANI.
Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Tuan Loke Siew Fook, yang menegaskan komitmen Kementerian Pengangkutan dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan, khususnya berkaitan kos perjalanan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, inisiatif FlySiswa merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar, terutama bagi mereka yang perlu menanggung kos penerbangan yang tinggi.
Beliau turut menggalakkan mahasiswa agar memanfaatkan sepenuhnya inisiatif yang disediakan oleh kerajaan serta merancang perjalanan dengan lebih sistematik dan berhemah.
Sepanjang berlangsungnya karnival tersebut, pelbagai pengisian telah diadakan termasuk sesi penerangan, kaunter maklumat serta khidmat nasihat berkaitan FlySiswa dan inisiatif pengangkutan siswa MADANI.


Kehadiran mahasiswa UPSI sebagai peserta program menunjukkan penglibatan yang aktif apabila mereka turut berinteraksi dengan agensi kerajaan dan pemain industri pengangkutan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kemudahan yang disediakan.
Karnival ini juga diserikan dengan cabutan bertuah, di mana salah seorang pelajar UPSI telah memenangi hadiah utama berupa tiket penerbangan percutian ke Chiang Mai, Thailand yang ditaja oleh Malaysia Airlines.
Penyertaan seramai 100 orang mahasiswa Borneo dalam program ini mencerminkan keperluan mahasiswa terhadap sokongan kebajikan yang praktikal dan memberi impak langsung kepada kelangsungan pengajian mereka.
Secara keseluruhannya, penyertaan MPP UPSI dalam Karnival Pengangkutan Siswa MADANI & FlySiswa 2026 telah memberikan impak positif kepada mahasiswa dengan meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif kebajikan pengangkutan serta memperkukuh komitmen universiti dalam menyokong agenda Malaysia MADANI yang berteraskan kesejahteraan, keadilan sosial dan inklusiviti.

