Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2025/2026 bersama mahasiswa Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI bergambar semasa menyertai Program Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) 2026.Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2025/2026 bersama mahasiswa Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI bergambar semasa menyertai Program Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) 2026.

Oleh Nazalinda Wanie Mohd Zariea

TANJONG MALIM, 24 Februari 2026 — Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (MPP UPSI) bersama mahasiswa universiti itu telah menyertai Program Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) 2026 yang berlangsung di Masjid Persekutuan.

Program tersebut dianjurkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program berprestij itu bertujuan memperkasa peranan asatizah muda sebagai agen pembimbing masyarakat yang berautoriti dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan, golongan asatizah muda memainkan peranan penting sebagai pemimpin pemikiran dan pembimbing masyarakat dalam memastikan kefahaman Islam terus diperkasa secara sederhana serta selari dengan tuntutan semasa.

“Usaha memperkukuh jaringan strategik serta pembangunan kepimpinan dalam kalangan generasi pelapis perlu digembleng secara berterusan bagi melahirkan pendakwah muda yang berilmu, berwibawa dan berintegriti demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program berkenaan.

Majlis Perwakilan Pelajar dan mahasiswa UPSI bergambar bersama Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan menyampaikan ucapan semasa Program Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) 2026.
Wakil Majlis Perwakilan Pelajar UPSI menerima cenderamata sebagai tanda penyertaan dalam program tersebut.

Program tersebut turut menampilkan pelbagai pengisian ilmiah termasuk forum perdana yang menghimpunkan tokoh agama, ahli akademik dan pemimpin muda bagi membincangkan cabaran dakwah kontemporari serta isu kefahaman beragama dalam masyarakat majmuk.

Selain itu, peserta juga mengikuti sesi wacana interaktif dan bengkel kepimpinan yang memberi penekanan kepada kemahiran komunikasi berkesan, pengurusan organisasi serta penggunaan platform digital dalam penyampaian dakwah.

Penyertaan mahasiswa UPSI dalam program ini dilihat sebagai platform penting dalam membina jaringan strategik serta memperkukuh jati diri kepimpinan dalam kalangan generasi pelapis.

Melalui penglibatan tersebut, mahasiswa berpeluang memperluas pengetahuan serta pengalaman dalam bidang dakwah dan kepimpinan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih sejahtera.