oleh Mohamad Alif Nasnawi Abdullah dan Bazli Razak
TANJONG MALIM, 5 Februari 2026– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan komitmen memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik apabila Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu mengadakan kunjungan hormat ke Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPSI (EDGE) hari ini.
Kunjungan tersebut menjadi platform perbincangan dua hala antara kepimpinan pelajar dan pengurusan EDGE berkaitan pembangunan ekosistem keusahawanan mahasiswa, kebolehpasaran graduan serta inisiatif sokongan kepada pelajar yang berminat menceburi bidang perniagaan.
Pengarah EDGE, Sharul Effendy Janudin berkata keusahawanan mahasiswa perlu disokong dengan ekosistem yang kondusif dan inklusif bagi memastikan pelajar mampu berkembang secara mampan.
Beliau berkata inisiatif pengurangan kadar sewaan kiosk dan penyediaan kawasan perniagaan percuma merupakan langkah proaktif universiti dalam membantu pelajar memulakan perniagaan.
Menurutnya, pelaksanaan skim pinjaman mudah tanpa faedah dikenali sebagai U-Star sebanyak RM500 kepada pelajar yang layak turut menyediakan tempoh moratorium tiga bulan sebelum bayaran balik dilaksanakan dalam tempoh 10 bulan pada kadar RM50 sebulan.
“Pendekatan ini menyediakan akses pembiayaan inklusif dan mengurangkan risiko kewangan pada peringkat awal perniagaan,” katanya dalam sesi perbincangan bersama MPP.



Selain itu, kadar sewaan kiosk tetap dikurangkan daripada RM250 kepada RM200 sebulan termasuk kemudahan utiliti seperti air dan elektrik, selain memberi kelonggaran bayaran selepas tiga bulan operasi bagi membantu pelajar menstabilkan aliran tunai.
EDGE turut menyediakan beberapa kiosk tetap dan kawasan perniagaan percuma termasuk ruang di parkir solar berhadapan Masjid Al-Mursyidin setiap Jumaat serta kemudahan Khemah Niaga melalui permohonan rasmi.
Dalam aspek keselamatan makanan, EDGE menyediakan kursus pengendalian makanan dan suntikan tifoid kepada pelajar yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman selaras dengan keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
UPSI dalam kenyataan memaklumkan kunjungan hormat itu memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara MPP dan EDGE dalam memperkasa agenda keusahawanan serta kebolehpasaran graduan secara menyeluruh dan mampan.
