oleh Afifah Adriana Aznan
Tanjung Malim, 7 Mac 2026– Dalam usaha menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan serta memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Jom Sahur bersama komuniti setempat yang melibatkan golongan frontliners, rumah anak yatim dan pelajar tahfiz di sekitar Daerah Muallim dan Daerah Hulu Selangor.



Program yang berlangsung dalam suasana penuh keakraban ini bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan melalui aktiviti kebajikan serta menyemai nilai kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti.
Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata sebanyak 150 pek juadah sahur telah berjaya diedarkan kepada frontliners, rumah anak yatim dan pelajar tahfiz di sekitar Daerah Muallim. Pengagihan ini merupakan fasa kedua pelaksanaan Program Jom Sahur di mana fasa pertama telah dilaksanakan pada minggu yang lalu dengan edaran sebanyak 85 pek makanan.



“Seawal pagi, sukarelawan yang terdiri daripada staf UPSI bersama-sama mengagihkan juadah kepada pihak frontliners, rumah anak yatim dan sekolah tahfiz. Aktiviti ini bukan sahaja membantu meringankan beban mereka yang bertugas, malah menjadi simbol penghargaan atas pengorbanan mereka dalam menjalankan amanah kepada masyarakat”.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan jelas menggambarkan bahawa program sebegini mampu memberi impak positif kepada semua pihak yang terlibat”.



Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, program ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga universiti memiliki nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial yang tinggi. Ramadan dilihat sebagai platform terbaik untuk memupuk semangat kebersamaan, kasih sayang dan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.



Gambar 15: Penyerahan
“Program Jom Sahur ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha berterusan untuk mengimarahkan Ramadan serta menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat”.

