8 Mac, Kuala Kubu Bharu, Selangor – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Kolej Antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menghidupkan bulan Ramadan dengan mengekalkan tradisi memasak bubur lambuk sebagai medium penyatuan masyarakat di Kampung Gesir Tengah, Kuala Kubu Bharu.
Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata program ini melibatkan 15 orang mahasiswa antarabangsa dari Indonesia yang turut bersama-sama mengimarahkan bulan Ramadan, di samping berpeluang menghayati keunikan tradisi budaya negara yang berbeza.



“Sebanyak 300 pek bubur lambuk telah berjaya disiapkan dan diagihkan kepada komuniti sekitar serta masjid bagi juadah berbuka. Inisiatif ini turut memberi peluang kepada mahasiswa serta kakitangan UPSI untuk turun padang dan menyantuni komuniti yang sentiasa berbakti kepada masyarakat”.



“Melalui program ini, para peserta juga turut membantu aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid. Para peserta juga tidak melepaskan peluang berbuka puasa dan melakukan ibadah solat sunat tarawikh bersama komuniti” ujarnya lagi.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata usaha memperkasa program berteraskan komuniti seperti ini amat penting, khususnya dalam mengimarahkan bulan Ramadan dengan nilai kebersamaan dan semangat kesukarelawanan.


Menurut beliau, tradisi bubur lambuk bukan sekadar juadah berbuka puasa, tetapi simbol perpaduan yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang, selari dengan keberkatan dan nilai murni yang dibawa oleh Ramadan.

