Tanjong Malim, 3 April – Seramai 14 pelajar daripada Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya memperoleh pensijilan profesional bertaraf antarabangsa iaitu CompTIA Security+ dan CompTIA Cloud+ dalam peperiksaan yang berlangsung di SAKRA Academy, Petaling Jaya pada 3hb April 2026 yang lepas.

Daripada jumlah tersebut, seramai 12 pelajar lulus pensijilan CompTIA Security+, manakala dua orang pelajar berjaya memperoleh pensijilan CompTIA Cloud+. Kejayaan ini membuktikan tahap kompetensi tinggi pelajar UPSI dalam bidang keselamatan siber dan teknologi awan yang semakin mendapat permintaan di peringkat global.

Program ini dilaksanakan di bawah tajaan Yayasan Peneraju dengan kerjasama Special Interest Group Information System and Technology Integration (SIG ISTI) FKMT serta Sakra Edutech sebagai mentor industri. Ia bertujuan meningkatkan kompetensi pelajar melalui pensijilan profesional di samping memperkukuh kebolehpasaran graduan selaras dengan keperluan industri semasa.

Menurut Ketua SIG ISTI FKMT, PM Dr. Aslina binti Saad, kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen berterusan pelajar serta sokongan padu daripada pihak fakulti dan rakan industri dalam memastikan pelajar memperoleh pendedahan kepada pensijilan profesional bertaraf antarabangsa.

“Program seperti ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kompetensi pelajar selaras dengan keperluan industri semasa. Kejayaan semua peserta membuktikan bahawa pelajar FKMT UPSI mampu bersaing dan memenuhi standard pensijilan profesional di peringkat global,” katanya.

Salah seorang peserta, Nur Izzati binti Md. Rajmi (Mahasasiwi Semester 6, ISM Kejuruteraan Perisian) berkata program berkenaan memberi pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna serta meningkatkan keyakinannya untuk menduduki peperiksaan pensijilan profesional.

“Program ini banyak membantu saya memahami konsep keselamatan siber dan teknologi awan dengan lebih mendalam. Latihan intensif yang diberikan serta pendedahan kepada format peperiksaan sebenar meningkatkan keyakinan saya,” katanya.

Seorang lagi peserta, Hartini binti Hussin (Mahasasiwi Sarjana Teknologi Maklumat) turut menyifatkan peluang menyertai program tersebut sebagai satu kelebihan besar kepada pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Pensijilan ini bukan sahaja menambah pengetahuan teknikal saya, malah meningkatkan nilai diri sebagai bakal graduan yang lebih bersedia untuk industri,” ujarnya.

Program dimulakan dengan kursus intensif selama empat hari bermula 30 Mac hingga 2 April di UPSI yang merangkumi pembelajaran teori serta latihan praktikal berkaitan keselamatan siber dan teknologi awan. Pelajar kemudiannya menduduki peperiksaan pensijilan di SAKRA Academy dengan bimbingan berterusan daripada jurulatih industri serta pasukan SIG ISTI.

Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan kolaborasi strategik antara pihak universiti, industri dan penaja dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta berdaya saing. Ia sekali gus membuktikan bahawa pelajar UPSI berupaya memenuhi standard pensijilan profesional bertaraf antarabangsa.

Program ini turut mendapat sokongan padu pasukan SIG ISTI yang diterajui PM Dr. Aslina binti Saad bersama Prof. Dr. Nor Hasbiah binti Ubaidullah, Pn. Asmara binti Alias dan Dr. Noor Anida Zaria binti Mohd. Noor serta Persatuan Teknologi Maklumat di bawah penasihatan Dr. Suhazlan bin Suhaimi dan Ts. Muhammad Zulhilmi bin Samsuri.

Kejayaan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program pensijilan profesional pada masa hadapan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar FKMT UPSI.