Oleh: Nurul Izzani Azizan, Dr. Nurul Huda Mohamed, Siti Aisyah Abdul Rahman, Che Ainun Yasmin Che Juhan, Intan Zahira Mohd Nor

Tanjong Malim, 11 April 2026 – Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam memperkasa kualiti penyelidikan pelajar melalui penganjuran Bengkel Analisis Data Berimpak Tinggi yang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah Pusat 12, Kampus Sultan Azlan Shah.

Bengkel ini merupakan siri pertama dalam Bengkel Bersiri Projek Penyelidikan Tahun Akhir 2 anjuran Jabatan Matematik, yang memberi fokus kepada pengukuhan kaedah kajian tinjauan dalam kalangan pelajar.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penyelaras Projek Penyelidikan Tahun Akhir 2, Prof. Madya Dr. Nurul Akmal binti Mohamed. Program ini diteruskan dengan slot perkongsian ilmu oleh Pensyarah Statistik, Dr. Riswan Efendi, yang menekankan aspek analisis data secara sistematik serta kepentingan tafsiran dapatan yang tepat dalam penyelidikan akademik.

Seramai 53 orang pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik dengan Kepujian (AT14) serta Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan (AT48) telah mengambil bahagian dalam bengkel ini.

Penganjuran bengkel ini bertujuan membimbing pelajar mengaplikasikan kaedah analisis data yang betul agar dapatan kajian dapat ditafsir dengan lebih sahih dan berkesan. Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada penggunaan kemudahan digital universiti dalam menyokong proses analisis dan pengurusan data secara lebih efisien.

Bengkel ini turut menerima maklum balas positif daripada para peserta. Muhammad Amirul Irfan bin Abdul Ghani, pelajar AT48, berkata bahawa bengkel ini sangat membantu beliau dalam memahami kaedah analisis data dengan lebih jelas dan tersusun. Menurutnya lagi, penerangan yang diberikan bukan sahaja mudah difahami, malah memberi keyakinan kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu tersebut dalam penyelidikan masing-masing.

Program ini juga menyediakan platform kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pakar serta memperluas jaringan akademik dalam bidang penyelidikan.

Secara keseluruhannya, bengkel ini diharap dapat melahirkan pelajar yang lebih kompeten dalam mengurus, menganalisis dan mentafsir data, seterusnya menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi serta berimpak.