Oleh: Nurul Izzani Azizan, Prof. Madya Dr. Nurul Akmal Mohamed, Siti Aisyah Abdul Rahman, Che Ainun Yasmin Che Juhan, Intan Zahira Mohd Nor
Tanjong Malim, 11 April 2026 – Usaha memperkasa kemahiran digital dalam kalangan pelajar terus dipergiat apabila satu sesi Kemahiran Persembahan: NotebookLM berjaya dilaksanakan oleh Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sesi ini telah disampaikan oleh Pensyarah Jabatan Matematik, Dr. Nurul Huda binti Mohamed, yang memperkenalkan penggunaan NotebookLM sebagai platform sokongan pembelajaran berasaskan teknologi.
Menurut Dr. Nurul Huda binti Mohamed, penggunaan teknologi yang sesuai mampu meningkatkan kecekapan pelajar dalam mengurus maklumat dan menghasilkan bahan akademik yang lebih berkualiti.
“Pelajar bukan sahaja perlu memahami kandungan, tetapi juga perlu bijak mengurus dan mempersembahkan maklumat dengan bantuan teknologi digital yang tepat,” jelas beliau.
Dalam sesi tersebut, pelajar telah diperkenalkan dengan fungsi dan kelebihan NotebookLM sebagai satu sistem yang membantu dalam penghasilan bahan pembelajaran interaktif serta menyokong pengolahan idea secara lebih tersusun, kreatif dan berkesan.
Penganjuran sesi ini bertujuan membimbing pelajar memanfaatkan kemudahan digital secara optimum dalam menyokong proses pembelajaran dan penyelidikan.



Melalui pendedahan yang diberikan, pelajar didedahkan kepada teknik menyusun maklumat, mengembangkan idea serta menghasilkan bahan pembelajaran secara lebih sistematik dan efisien.
Selain meningkatkan kecekapan akademik, penggunaan NotebookLM turut membantu pelajar memperkukuh kefahaman terhadap sesuatu topik serta meningkatkan kualiti hasil kerja yang dihasilkan.
Program ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk berkongsi pengetahuan dan bertukar pandangan bersama rakan serta pensyarah, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kolaboratif dan dinamik.
Secara keseluruhannya, sesi ini diharap dapat memperkasa keupayaan pelajar dalam memanfaatkan teknologi digital secara lebih efektif, seterusnya melahirkan graduan yang kompeten, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran pembelajaran abad ke-21.
