oleh: Dr. Ijlal Mohd Diah, Dr. Nurihan Nasir dan Muhammad Arif Danial Zamzabidi
BIDOR 9 APRIL 2026 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) melalui Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menerima jemputan untuk bersama-sama menjayakan Program Pemantapan SPM Matematik (Matematik Pengguna: Insurans).
Seramai 108 orang murid dan 7 orang guru pembimbing Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani telah hadir bagi memeriahkan Program Pemantapan SPM Matematik.
Program ini bertujuan untuk untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada murid-murid Tingkatan 5 mengenai topik tersebut, memandangkan ianya sangat berkaitan dengan aspek pengurusan kewangan dalam kehidupan harian.


PROGRAM PEMANTAPAN SPM MATEMATIK
Program ini merupakan satu inisiatif yang bertujuan memperkukuh hubungan antara persatuan Matematik merentas pelbagai aliran pendidikan, sama ada di bawah Kementerian Pengajian Tinggi mahupun Kementerian Pendidikan Malaysia.
Di samping itu, program ini turut bertujuan meningkatkan kefahaman murid terhadap topik Insurans dan Percukaian dalam subjek Matematik Pengguna di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Melalui program ini, satu platform pembelajaran interaktif disediakan bagi membantu murid menguasai konsep asas serta memahami aplikasi sebenar dalam kehidupan harian.
Murid juga didedahkan kepada teknik menjawab soalan, perkongsian strategi pembelajaran yang berkesan, serta latihan berfokus yang mampu meningkatkan keyakinan dan prestasi mereka dalam peperiksaan.
Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi secara langsung dengan fasilitator yang berpengalaman, di samping membincangkan permasalahan yang sering dihadapi dalam topik tersebut.
Inisiatif ini diharap dapat membantu murid memahami kepentingan pengurusan kewangan, khususnya berkaitan insurans dan percukaian, serta membentuk pemikiran yang lebih kritis dan analitikal.
Program yang berlangsung selama satu hari ini bukan sahaja diisi dengan slot pembelajaran dan perbincangan ilmiah, malah turut diselitkan dengan aktiviti menarik seperti latihan berkumpulan (Swap the Knowledge) dan Perkongsian & Amanat.
Program dimulakan dengan Majlis Perasmian Program Pemantapan SPM Matematik (Matematik Pengguna: Insurans dan Percukaian) yang telah dirasmikan oleh Cikgu Haji Mohamad Asri Omar, selaku Guru Kanan Sains dan Matematik.
SLOT 1: Sesi Pembelajaran Matematik: Insurans
Slot pertama menampilkan sesi pengajaran bagi topik Insurans yang disampaikan oleh Afiq Hafiz Najmi dengan bimbingan fasilitator lain.
Slot ini berlangsung dalam suasana yang interaktif dan berfokus, di mana murid diberikan penerangan yang jelas berkaitan konsep asas insurans, jenis-jenis perlindungan serta kepentingannya dalam kehidupan seharian.
Sepanjang sesi ini, murid turut didedahkan kepada contoh situasi sebenar serta teknik menjawab soalan yang berkaitan.
Di samping itu, mereka juga berpeluang mengemukakan soalan dan terlibat dalam perbincangan secara aktif bersama fasilitator.
Melalui pendekatan pengajaran yang sistematik dan mesra ini, murid dapat meningkatkan kefahaman serta keyakinan dalam menguasai topik insurans sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

Slot 2: Swap the knowledge!
Sejurus selesai slot pertama, program diteruskan dengan Slot 2 yang bertajuk Swap the Knowledge. Slot ini menampilkan pendekatan pembelajaran secara kolaboratif di mana murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk membincangkan dan menjawab soalan yang telah diberikan.
Setiap kumpulan kemudiannya membentangkan hasil perbincangan mereka melalui kaedah stesen seperti gallery walk, yang membolehkan murid-murid bergerak dari satu stesen ke stesen lain untuk melihat, menilai serta bertukar idea antara kumpulan.
Aktiviti ini bukan sahaja mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan, malah turut menggalakkan pemikiran kritis, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memupuk keyakinan murid dalam menyampaikan idea dengan lebih berkesan.


Slot 3: Perkongsian & Amanat
Pada slot ketiga, program diteruskan dengan sesi Perkongsian & Amanat yang berlangsung dalam suasana santai namun sarat dengan pengisian bermakna.
Slot ini menampilkan para fasilitator yang berkongsi pelbagai tips dan strategi persediaan menghadapi peperiksaan SPM, termasuk teknik pengurusan masa, kaedah ulang kaji yang efektif serta pendekatan menjawab soalan secara lebih sistematik.
Selain itu, para fasilitator turut menyampaikan amanat dan kata-kata motivasi kepada para peserta agar sentiasa berusaha dengan gigih, berdisiplin dalam pembelajaran serta tidak mudah berputus asa dalam mencapai kejayaan.
Perkongsian ini bukan sahaja memberikan panduan yang berguna kepada murid, malah turut menyuntik semangat dan keyakinan dalam diri mereka untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam meningkatkan kefahaman murid terhadap topik Insurans dan Percukaian di samping memupuk minat serta keyakinan mereka dalam menghadapi peperiksaan SPM.



Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi manfaat yang berterusan kepada para pelajar. Kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat amat dihargai dan menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan program ini.
