Oleh : Dr. Siti Nursaila Alias, Dr. Anis Nazihah Mat Daud dan Dr. Anis Diyana Halim
Tanjong Malim, 14 April 2026– Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan “Physics Education Workshop 1.0: Bengkel Penggunaan Teknologi dan Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Fizik” bertempat di Blok 4, Makmal Pengajaran 5, UPSI.
Program sehari yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang itu telah menghimpunkan 23 orang guru Fizik daripada pelbagai sekolah di daerah Sabak Bernam.
Penganjuran bengkel ini turut menjadi manifestasi jaringan kerjasama strategik antara UPSI dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam dalam usaha memperkukuh pembangunan profesional guru serta memperluas akses kepada latihan berasaskan inovasi dan teknologi dalam pendidikan Fizik.
Bengkel ini dianjurkan sebagai platform untuk memperkukuh profesionalisme guru, khususnya dalam aspek penggunaan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan keberkesanan PdP Fizik di sekolah.
Pelaksanaan subjek Fizik Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) memerlukan pendekatan pengajaran yang lebih berpusatkan murid serta mampu menjelaskan konsep-konsep sukar secara lebih bermakna.
Walau bagaimanapun, guru-guru sering berhadapan dengan kekangan seperti keterbatasan masa untuk merancang aktiviti pengajaran yang menarik dan kekurangan bahan bantu mengajar.
Sehubungan itu, bengkel ini dirangka bagi membantu guru-guru menghasilkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, kreatif dan efektif melalui perkongsian amalan terbaik, pembangunan bahan pengajaran inovatif dan penerapan teknologi dalam bilik darjah.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah mengikuti dua sesi utama yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Rosly bin Jaafar, Profesor Emeritus UPSI yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan Fizik dan inovasi pengajaran.
Kehadiran beliau sebagai pengendali utama program memberikan nilai tambah yang signifikan kepada bengkel ini melalui perkongsian pengalaman, idea serta pendekatan pengajaran yang relevan dengan keperluan semasa guru.
Sesi pertama memberi penekanan kepada penggunaan teknologi dalam PdP Fizik, termasuk pengintegrasian aplikasi digital, simulasi, serta bahan interaktif yang dapat membantu murid memahami konsep-konsep fizik yang kompleks.
Sesi kedua pula memfokuskan kepada penggunaan inovasi dalam PdP Fizik. Peserta didedahkan kepada pelbagai idea dan aktiviti pembelajaran berasaskan inovasi yang boleh diaplikasikan terus di sekolah masing-masing.
Aktiviti secara praktikal dan hands-on turut memberi peluang kepada peserta untuk membina sendiri bahan serta strategi pengajaran yang lebih kreatif.


Penganjuran bengkel ini dilihat bertepatan dengan usaha UPSI sebagai universiti pendidikan untuk menyokong pembangunan berterusan guru-guru di lapangan.
Melalui program sebegini, guru bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pedagogi, malah berupaya menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keperluan semasa murid.
Selain membantu meningkatkan kualiti pengajaran guru, bengkel ini juga menjadi salah satu inisiatif Jabatan Fizik dalam merealisasikan pelan strategik fakulti serta menyumbang kepada pencapaian KPI berkaitan penganjuran kursus dan latihan berasaskan penyelidikan.
Pihak penganjur berharap Physics Education Workshop (PEW) 1.0 dapat menjadi platform yang memberi peluang kepada lebih ramai guru untuk memanfaatkan perkongsian ilmu, pengalaman dan inovasi yang ditawarkan.
Usaha ini diharapkan mampu memperkasa amalan pengajaran Fizik agar lebih dinamik, menarik dan berimpak tinggi, seterusnya meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran tersebut.
