Dr. Suriani bersama Mohd Musyaffa’ (kiri), Dr. Kyunghyun (tiga dari kanan) dan wakil Appmedia Inc. (kanan) menunjukkan dokumen MoA yang telah ditandatangani pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.Dr. Suriani bersama Mohd Musyaffa’ (kiri), Dr. Kyunghyun (tiga dari kanan) dan wakil Appmedia Inc. (kanan) menunjukkan dokumen MoA yang telah ditandatangani pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.

Oleh Bazli Razak dan Siti Sarah Ahmad Zubdi

TANJONG MALIM, 16 APRIL 2026 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Appbooks Sdn. Bhd., Appmedia Inc. dari Korea Selatan serta Sahmyook University dalam usaha memperkukuh pembangunan modul digital interaktif bagi sektor pendidikan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Suriani Abu Bakar berkata, kolaborasi strategik itu mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas jaringan kerjasama bersama rakan industri dan institusi akademik di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan serta penambahbaikan Interactive E-Module Bahasa Melayu.

“Modul ini direka khusus bagi menyokong murid Tahun 4 selaras dengan Pendekatan Matriks Pembelajaran Tahun 4 yang menekankan pembelajaran holistik, berasaskan kompetensi dan bermakna,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, kelmarin.

Dr. Suriani berkata, usaha itu turut mencerminkan komitmen UPSI dalam menyokong keutamaan pendidikan negara serta memacu inovasi pembelajaran digital.

“Kerjasama ini bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan kandungan, malah merupakan satu usaha ilmiah bagi menilai serta meningkatkan keberkesanan teknologi pendidikan digital agar benar-benar memberi impak kepada proses pembelajaran.

Beliau turut menyifatkan kolaborasi itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh agenda penyelidikan dan inovasi universiti, khususnya dalam bidang pendigitalan pendidikan.

“Inisiatif ini berpotensi untuk diperluas ke peringkat nasional serta menjadi rujukan antarabangsa dalam pembangunan modul digital, sekali gus menyokong agenda pendigitalan pendidikan negara.

Katanya, kerjasama tersebut juga memperkasakan peranan Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (NiCE) UPSI sebagai peneraju dalam inovasi pendidikan digital.

“Apabila universiti dan industri saling menyumbang, kita dapat mewujudkan ekosistem penyelidikan yang lebih bertanggungjawab serta memastikan setiap objektif projek dicapai dengan kualiti terbaik,” ujar beliau.

Dr. Suriani bersama Mohd Musyaffa’ (kiri), Dr. Kyunghyun (tiga dari kanan) dan wakil Appmedia Inc. (kanan) ketika menandatangani dokumen MoA pada satu majlis yang diadakan di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.
Dr. Suriani (kanan) ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UPSI dengan Appbooks Sdn. Bhd., Appmedia Inc. dan Sahmyook University di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.
Dr. Suriani (empat dari kanan, bawah) bergambar kenangan bersama Dr. Kyunghyun (tengah, bawah) dan barisan pengurusan UPSI di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Appbooks Sdn. Bhd., Mohd Musyaffa’ Mohd Fadzin berkata, kerjasama tersebut merupakan satu inisiatif signifikan dalam memperkasa masa depan pendidikan Bahasa Melayu, khususnya dalam aspek literasi awal.

Beliau berkata penglibatan Sahmyook University sebagai rakan strategik kajian turut menyumbang dari sudut perspektif global, kepakaran penyelidikan serta penandaarasan antarabangsa, manakala Appmedia Inc. memainkan peranan penting dalam memperkukuh aspek teknologi dan pelaksanaan inovasi.

Menurutnya, kajian bertajuk “Empowering Early Literacy through Digital Pedagogy: The Design and Impact of a Neoteric Interactive e-Module for Malay Language Learning” yang dijalankan oleh akademia UPSI memberi penekanan kepada pembangunan literasi awal melalui pendekatan pedagogi digital yang inovatif.

“Literasi awal merupakan asas kepada keseluruhan perjalanan pendidikan seseorang pelajar. Justeru, pendekatan pada peringkat ini perlu menarik, interaktif, mudah difahami serta mampu membina minat dan keyakinan pelajar sejak awal,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Sahmyook University, Prof. Dr. Kyunghyun Suh pula menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai satu platform penting dalam menghubungkan kepakaran antarabangsa bagi memperkasa inovasi pendidikan digital.

“Kerjasama ini membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan, penyelidikan bersama serta pembangunan model pendidikan yang berimpak tinggi di peringkat global,” katanya.