oleh: Dr. Nor Afzalina Azmee, Dr. Nurul Hila Zainuddin, Dr. Nurul Huda Mohamed dan Auni Aqilah Harifin

TANJONG MALIM, 18 APRIL 2026 Dalam usaha memperkukuh kualiti penyelidikan di peringkat prasiswazah, Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Bengkel Kemahiran Asas Penyelidikan Perpustakaan dan Pencarian Maklumat.

Bengkel ini merupakan fasa permulaan bagi siri program sokongan Projek Penyelidikan Tahun Akhir (FYP) yang dirancang khusus untuk memastikan pelajar mempunyai asas yang teguh sebelum memulakan fasa penulisan tesis.

Program ini telah berlangsung dengan penuh interaktif di Dewan Kuliah Pusat 7, Kampus Sultan Azlan Shah.

Majlis telah dirasmikan oleh Dr. Nor Afzalina binti Azmee, Penyelaras Projek Penyelidikan Tahun Akhir 1, Jabatan Matematik.

Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan bahawa kemahiran mencari maklumat bukan sekadar untuk lulus kursus, malah merupakan kemahiran sepanjang hayat yang kritikal dalam era kepintaran buatan (AI) hari ini.

Bengkel bertajuk “Carian Terperinci – Kemahiran untuk Membantu Penyelidikan Anda” telah dikendalikan oleh Pustakawan (PTB), Puan Nurul Aishah binti Mis’ut.

Dalam slot ini, pelajar diajar teknik pencarian yang lebih sofistiket mengunakan Boolean Operators (AND, OR, NOT) untuk mengecilkan skop carian literatur Matematik yang luas.

Selain itu, beliau turut berkongsi tips penggunaan instrumen pengurusan rujukan bagi membantu pelajar menguruskan bibliografi dengan lebih sistematik dan mengekalkan isu plagiarisme.

Seramai 184 orang pelajar daripada program AT14 (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik dengan Kepujian) dan AT48 (Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan) telah memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang bengkel berlangsung.

Penganjuran bengkel ini bukan sahaja bertujuan untuk membimbing pelajar mencari sumber rujukan yang berkualiti, malah ia menerapkan elemen Literasi Maklumat yang mendalam.

Pelajar kini lebih bersedia untuk menyaring ribuan jurnal akademik Dan memilih artikel yang mempunyai impak tinggi serta relevan dengan objektif kajian Matematik mereka. 

Selain itu, bengkel ini turut menekankan aspek etika dalam penyelidikan  dengan pendedahan terhadap cara akses kepada jurnal berimpak tinggi seperti Scopus dan Web of Science, pelajar diharapkan dapat menghasilkan tinjauan literatur yang kritikal dan mendalam, sekali gus meningkatkan piawai penulisan tesis Jabatan Matematik. 

Secara keseluruhannya, bengkel Siri 1 ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk kemahiran penyelidikan kendiri.

Sesi penyampaian cenderamata kepada penceramah, penasihat akademik
Sesi penyampaian cenderamata kepada penceramah, penasihat akademik

Melalui kerjasama erat antara Jabatan Matematik dan Perpustakaan Tunku Bainun, inisiatif ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam angka, tetapi juga hebat dalam mengurus dan mensintensis maklumat secara profesional demi pembangunan akademik yang cemerlang.